suria

Perspektif Keluarga Perlu Diintegrasikan Dalam Setiap Pembangunan

KUALA LUMPUR: Perspektif keluarga perlu diintegrasikan dalam setiap aspek pembangunan negara dalam usaha memastikan sumber manusia negara berkualiti, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menyedari keluarga merupakan penentu utama dalam sesebuah negara yang bersifat sihat, dinamik, produktif dan berdaya saing, beliau berkata Kabinet pada mesyuarat Jumaat lepas meluluskan Dasar Keluarga Negara (DKN).

Jemaah Menteri turut meluluskan Pelan Tindakan Dasar Keluarga Negara (PTDKN), yang akan menjadi panduan dan peringatan kepada semua pihak mengenai pentingnya perspektif keluarga diberi penekanan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Krismas anjuran Wanita Barisan Nasional di Subang Avenue di sini, Ahad.

Beliau berkata Dasar Keluarga Negara menggariskan tiga teras strategi, merangkumi keperluan meningkatkan komitmen dan penglibatan pelbagai pihak untuk mengutamakan perspektif keluarga dalam segala usaha pembangunan sosio-ekonomi.

Shahrizat berkata contohnya dalam perancangan perumahan pihak pemaju perlulah mengambil kira impak pembinaan kepada keluarga seperti kemudahan lif untuk ibu bapa tua atau orang Kelainan Upaya (OKU) yang tinggal bersama di rumah pangsa.

"Peraturan pekerjaan yang mesra keluarga seperti penyediaan pusat jagaan kanak-kanak, waktu kerja anjal, cuti kecemasan untuk menjaga anak sakit dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata strategi kedua adalah memastikan undang-undang, dasar, prosedur, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan mengutamakan perspektif keluarga.

Contohnya, memastikan mediasi dijalankan oleh anggota terlatih bersama kedua-dua pihak yang bertelingkah dan berbalah bagi menyelesaikan isu-isu rumah tangga semasa perceraian, katanya.

Teras ketiga adalah menyediakan dan memastikan program, perkhidmatan dan kemudahan mesra keluarga mudah diakses seperti menyediakan perkhidmatan kaunseling atau prasarana kepada remaja di kompleks membeli-belah atau melalui internet.

"Satu jawatankuasa khas akan dibentuk dalam kementerian untuk memastikan dasar dan pelan ini turut melibatkan syarikat-syarikat swasta juga," katanya.

Terdahulu, Shahrizat menyampaikan hamper dan wang tunai RM100 kepada 400 penerima daripada golongan miskin.-BERNAMA

Artikel Lain