suria

Penerbangan MAS Ke London Terjejas Akibat Penutupan Lapangan Terbang Heathrow

PETALING JAYA: Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ke dan dari London terjejas berikutan penutupan Lapangan Terbang Heathrow.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, penerbangan yang terjejas adalah MH3 (London ke Kuala Lumpur), MH4 dan MH2 (Kuala Lumpur ke London).

Penerbangan MH3 terkandas di London dan telah dijadualkan semula untuk berlepas pada Ahad pukul 12pm (waktu London).

Keadaan itu ekoran sementara menunggu Lapangan Terbang Heathrow dibuka semula.

Sementara itu, penerbangan MH4 yang berlepas pada Sabtu telah dilencongkan ke Frankfurt.

“Semua penumpang diberikan kemudahan penginapan. Mereka yang terpaksa menunggu disebabkan penutupan sementara lapangan terbang di London akan disediakan penerbangan alternatif yang dijadualkan berlepas pada 19 Disember pukul 1.15 petang waktu Franfurt,” kata kenyataan itu.

Penerbangan MH2 yang berlepas pada Sabtu malam seperti yang dijadualkan akan dilencongkan ke Istanbul berikutan semua lapangan terbang di Eropah tidak lagi menerima perubahan laluan.

Penjadualan semula waktu bagi penerbangan MH2 untuk berlepas akan diumumkan kelak.

Sementara itu, MH4 yang sepatutnya dijadualkan berlepas dari Malaysia pada pukul 10.45 pagi Ahad sedang dipantau sementara menunggu Heathrow dibuka semula.

Penerbangan itu kini dijadualkan semua untuk berlepas dari Kuala Lumpur pada pagi Isnin, 12.55 pagi (waktu Malaysia).

Pengarah Operasi MAS, Kapten Azharuddin Osman berkata, terdapat banyak salji dan ais di Heathrow, London menyebabkan pihak berkuasa memutuskan keadaan itu tidak selamat untuk lapangan terbang itu beroperasi.

“Kami memohon maaf kepada para penumpang di atas gangguan yang berpunca daripada keadaan cuaca buruk di London. Keselamatan penumpang adalah keutamaan kami.

“Kami bekerja rapat dengan lapangan terbang itu dan pihak berkuasa penerbangan awam berkaitan bagi mengemaskini maklumat dengan para penumpang mengenai jadual baru kami sebaik menerima kebenaran yang diperlukan,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, penumpang yang terjejas dengan penerbangan terbabit akan diberikan pilihan berikut iaitu menukarkan tempahan penerbangan dari sekarang hingga 2 Januari 2011 tanpa sebarang caj perjalanan hingga akhir Mac 2011, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk dan jenis tambang yang ditempah.

Antara alternatif lain adalah mendapatkan pemulangan penuh wang tempahan untuk semua jenis tambang namun dikenakan fi.

Penumpang turut dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan mereka menerusi menerusi www.malaysiaairlines.com sebelum berlepas ke lapangan terbang atau menghubungi Pusat Panggilan MAS 1300-88-3000 (di Malaysia) atau +603-7843 3000 (di luar Malaysia).

Penumpang juga boleh menyemak status penerbangan menggunakan telefon mudah alih dengan melayari flymas.mobi.

Artikel Lain