suria

TPM Minta Jentera BN, Umno Tingkatkan Sokongan Pengundi DUN Tenang

PAGOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta jentera Barisan Nasional (BN) dan Umno supaya bukan sahaja mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, sebaliknya meningkatkan jumlah sokongan pengundi kawasan berkenaan.

Muhyiddin berkata pilihan raya kecil tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak dan BN memerlukan penglibatan secara bersatu sebagai syarat mencapai kejayaan.

"Rekod dulu memberangsangkan tetapi apa yang penting bukan sahaja setakat pertahankan tetapi kalau boleh kita tingkatkan lagi jumlah sokongan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis gempur NKRA 1Azam (Akhiri Zaman Kemiskinan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Daerah Muar, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan diadakan pilihan raya kecil DUN Tenang ekoran kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha, semalam.

Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dan jentera BN dan Umno bersedia menggerakkan persiapan bila-bila masa pilihan raya diadakan.

Mengenai calon yang bakal dipilih, beliau berkata ia akan diumumkan apabila tiba masanya.

Allahyarham Sulaiman, 59, meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pukul 1.10 pagi semalam akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.

DUN Tenang yang terletak dalam kawasan Parlimen Labis mempunyai 14,511 pengundi berdasarkan perangkaan SPR 2008 dan kira-kira 50 peratus pengundi adalah kaum Melayu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DU Nberkenaan dengan majoriti 2,492 undi menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

WikiLeaks: DAP Nafi Jadi Dalang

Artikel Berikut

ADUN Tenang Meninggal Dunia

Artikel Lain