suria

Peraturan Dalam Sistem Kewangan Negara Dikaji Semula

IPOH: Kementerian Kewangan sedang mengkaji untuk meminda atau melupuskan peraturan dalam sistem kewangan negara bagi memastikan ia tidak merencatkan sebarang polisi kerajaan yang digubal mengikut peredaran masa dan kesesuaian.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata langkah itu diambil bagi memastikan peraturan lapuk dan tidak lagi relevan dengan situasi semasa dapat dipinda segera.

"Ini kerana sesetengah peraturan kewangan ini telah diperkenalkan sejak dulu, yang mana dulu (pada ketika itu) memang menjadi keperluan… tetapi dengan perubahan zaman peraturan ini mungkin tidak begitu relevan. Jadi apa yang kita tengah buat, kaji peraturan-peraturan kewangan, mana yang tidak relevan lagi kita akan pinda supaya ia dapat diadaptasi dalam keperluan dunia yang berubah," katanya kepada pemberita selepas ditemuramah dalam satu slot di Perak FM di sini, Sabtu.

Beliau memberikan contoh, sebelum ini pembekal yang mendapat kontrak dengan kerajaan dikehendaki meletakkan 'bon prestasi' dan ia kemungkinan menjadi halangan untuk pelaksanaan projek.

Ahmad Husni berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada petugas Kementerian Kewangan pada Khamis lepas supaya mereka lebih peka kepada perubahan dan terdapat banyak peraturan dilihat sebagai penghalang kepada sesuatu polisi atau peraturan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan mengingatkan, para petugas kementerian supaya bersikap lebih berani membuat teguran dan perubahan dalam menjalankan tugas masing-masing.

Ahmad Husni berkata oleh yang demikian perubahan terhadap mana-mana peraturan yang mengekang kemajuan dan pembangunan harus dilakukan segera selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Beliau menjelaskan semua penjawat awam terutama yang berkhidmat dengan Kementerian Kewangan perlu tampil untuk mengemukakan cadangan terhadap mana-mana peraturan yang memerlukan kajian sebelum ia dipinda.

Katanya cadangan ini perlu kerana sesuatu peraturan lapuk yang diamalkan kini menyebabkan negara mengalami mengalami kesan negatif terutama membabitkan pelaburan asing.

Sebagai sebuah kementerian yang penting, Ahmad Husni mengakui banyak peraturan kewangan wajar disesuaikan dengan perkembangan semasa dunia.-BERNAMA

Artikel Sebelum

WikiLeaks: DAP Nafi Jadi Dalang

Artikel Berikut

ADUN Tenang Meninggal Dunia

Artikel Lain