suria

Malaysia, Brunei Terbit Bersama Buku Industri Minyak

BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei Darussalam akan menerbitkan bersama dua buah buku "coffee table" mengenai industri minyak serta flora dan fauna di Borneo dalam usaha baru meningkatkan kerjasama bidang penerangan.

Inisiatif itu yang akan dilakukan oleh Jabatan Penerangan Brunei Darussalam dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut membabitkan pameran foto-foto berkenaan di kedua-dua negara.

Kerjasama itu merupakan antara program baru yang dipersetujui pada Mesyuarat Ke-3 Jawatankuasa Teknikal Bersama Dalam Bidang Penerangan (JTCIM) Malaysia-Brunei Darussalam yang berakhir di sini, Sabtu.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang berkata penerbitan dua buah buku itu akan dapat memperkenalkan kedua-dua negara kepada dunia di samping mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang penerangan.

"Saya percaya ianya senang dibaca, dari sejarah misalnya, bagaimanakah minyak ditemui di Brunei dan di Miri, begitu juga dengan keunikan flora dan fauna yang terdapat di Borneo," katanya kepada pemberita, Sabtu.

Beliau dan Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Abd Wahab Juned sebelum itu menyaksikan penandatanganan minit persetujuan mesyuarat oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Omar bin Haji Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Abd Wahab, yang turut memuji usaha menerbitkan buku-buku itu, berkata maklumat-maklumat berkenaan perlu disampaikan bagi kepentingan pelancongan.

"Buku-buku ini memang berkaitan secara langsung dengan kekuatan yang terdapat di Malaysia dan Brunei Darussalam ... kita akan bekerja keras untuk mempastikan usaha ini dicapai," katanya.

Mesyuarat dua hari itu juga bersetuju melaksanakan program penempatan dan latihan dalam perhubungan awam bagi para pegawai dari Jabatan Penerangan kedua-dua negara serta menigkatkan kerjasama bidang penyiaran.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Televisyen Brunei (RTB) akan mengadakan ruangan khas "Jendela Brunei Darussalam-Malaysia" dengan bertukar berita-berita menarik termasuk 'human interest' di negara masing-masing.

Ia akan disiarkan setiap Khamis.

RTB akan juga bekerjasama dengan Filem Negara Malaysia untuk menerbitkan dokumentari mengenai isu-isu semasa, kesenian, kebudayaan dan warisan.

Malaysia diwakili Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahaya, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Abdullah Morad, Ketua Pengarah Filem Negara Raja Rozaimie Dalnish dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong.

Brunei Darussalam pula diwakili Pemangku Pengarah RTB Haji Idris Haji Md Ali dan Pengarah Jabatan Penerangan Dr Muhammad Hadi Muhammad Melayong serta para pegawai kedua-dua jabatan.

Malaysia akan menjadi tuan rumah mesyuarat akan datang pada tahun 2012.-BERNAMA

Artikel Sebelum

WikiLeaks: DAP Nafi Jadi Dalang

Artikel Berikut

ADUN Tenang Meninggal Dunia

Artikel Lain