suria

Saman Suami Isteri Hilang Dua Anak Dalam Tanah Runtuh Selesai

SHAH ALAM: “Duit bukan segala-galanya, tetapi sekurang-kurangnya kematian dua anak kami terbela,” luah suami isteri yang menyelesaikan secara baik saman RM1.1 juta terhadap sebuah syarika pemaju ekoran kematian anak mereka dalam kejadian tanah runtuh di Ulu Yam Perdana, dekat sini.

Roslan Mohd Jani, 51, yang merupakan juruterbang Syarikat Penerbangan Firefly dan isteri, Azizah Madon, 45, menambah biarpun kejadian itu berlaku dua tahun lalu, ingatan terhadap arwah Nur Athirah, 16, dan Nurintan Shereena, 9, masih kuat.

“Kami masih terbayang-bayangkan anak. Duit ini bukan pengganti,” kata Roslan yang ditemui di luar Mahkamah Tinggi di sini Jumaat, selepas persetujuan untuk menyelesaikan kes direkodkan.

Persetujuan tersebut direkodkan di hadapan Hakim Datuk Suraya Othman.

Bagaimanapun, Roslan dan Azizah enggan mendedahkan jumlah yang dipersetujui dan sekadar memberitahu, ia tidak mencapai jumlah asal saman yang difailkan pada 6 Ogos 2008.

Mereka memfailkan saman tersebut dengan menamakan pemaju, SAP Ulu Yam Sdn Bhd, Syarikat Jurutera Perunding, SLP Perunding Sdn Bhd, Yayasan Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai defendan-defendan.

Saman tersebut difailkan selepas Nur Athirah dan Nurintan Shereena tertimbus apabila tanah runtuh menghempap bahagian belakang rumah banglo kediaman mereka selama tujuh tahun semasa sedang tidur.

Pada pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, kejadian itu berlaku ekoran kegagalan, kecuaian dan kelalaian bersama atau berasingan pihak defendan dalam memastikan hartanah tersebut adalah selamat tanpa sebarang bahaya yang boleh menyebabkan tanah runtuh.

Selaku plaintif, mereka diwakili oleh peguam Abdul Rahman Azubir.

Pada kejadian itu, Roslan dan Azizah terselamat bersama tiga lagi anak iaitu, Norlisa Azira, 11, Anis Afina, 9, dan Norman Afiq, 7.

Pasangan tersebut dikurniakan seorang lagi anak, Norman Aqif selepas kejadian yang kini berusia 7 bulan.

Roslan juga berharap, semua syarikat pemaju akan mengambil iktibar bagi mengelakkan kejadian sama berulang kepada pembeli-pembeli rumah lain.

“Pemaju tidak boleh hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Pembeli juga perlu berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dalam urusan pembelian rumah,” tambahnya.

Mereka berhasrat untuk menggunakan wang itu bagi membeli rumah baru memandangkan kediaman lama telah diwartakan sebagai tidak selamat untuk diduduki oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Buat masa ini, mereka sekeluarga tinggal di rumah sewa jenis teres dua tingkat di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain