suria

Remaja OKU Yang Dipotong Dipercayai Sudah Lama Mati

KUALA LUMPUR: Mayat remaja perempuan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dipotong dan disumbat dalam dua beg yang dijumpai Sabtu lepas di Gohtong Jaya, Genting Highlands dipercayai telah lama dibunuh dan dibiarkan dalam beg terbabit.

Menurut sumber, berikutan faktor itu, laporan bedah siasat yang dibuat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) Kuantan, Pahang baru-baru ini sukar mengesan cap jari dan wajah mangsa.

"Kami sukar kesan cap jari kerana jarinya sudah hancur. Wajah mangsa juga sudah reput dan sukar dicam.

"Tiada apa yang boleh dibuat dengan badan mangsa kerana sudah terlalu lama dibiarkan dalam keadaan begitu (di dalam beg)," katanya.

Mayat remaja itu ditemui di kawasan gaung berhampiran tokong Cina di Gohtong Jaya, Genting Highlands oleh pemburu cicak Gecko dalam dua buah beg, satu beg berisi tangan kanan dan kaki kiri, dan beg kedua mengandungi kepala dan badan remaja itu.

Polis percaya terdapat satu lagi beg yang mengandungi anggota kaki kanan dan tangan kiri mangsa yang belum ditemui.

Polis bagaimanapun enggan mendedahkan cara pembunuhan itu dilakukan termasuk samada mangsa ditetak ataupun dipotong.

Menurutnya oleh kerana wajah mangsa sudah reput dan hancur, polis tidak dapat menyiarkan gambar mangsa untuk edaran umum bagi mendapatkan bantuan lanjut berhubung kes itu.

Katanya apabila polis gagal mengesan cap jari dan muka mangsa, identiti keseluruhan mangsa sukar dikenalpasti walaupun identiti fizikalnya telah diketahui.

Sebelum ini dilaporkan, kepala remaja itu didapati bersaiz lebih besar daripada biasa manakala tangan kanan pula kecil daripada biasa selain berambut kerinting.

Beliau berkata polis akan memperluaskan bantuan siasatan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah lain selain Bentong bagi mengumpul maklumat mangsa.

"Tiada maklumat lagi daripada JKM Bentong. Namun kita percaya mangsa ada menerima bantuan dan mempunyai rekod dengan mana-mana JKM. Ini salah satu petunjuk kita," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mempunyai kenalan yang hilang berdasarkan maklumat yang diberi ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain