suria

Pasangan Kekasih Ditahan Miliki Dadah Bernilai Lebih RM30,000

GEORGE TOWN: Polis merampas lebih tiga kilogram dadah yang dipercayai bernilai lebih RM30,000 apabila menahan seorang lelaki tempatan bersama teman wanitanya, seorang wanita rakyat China dalam sebuah kereta di Tanjong Tokong di sini malam Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supritendan S. Batumalai berkata tangkapan dilakukan kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Beliau berkata setelah menyoalsiasat kedua-dua suspek itu, polis memeriksa rumah mereka di Jelutong di sini.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah, polis menemui dadah jenis Ketamin seberat 1.7 kilogram, heroin 3.2 kilogram, pil eramin sebanyak 112 biji dan pil ecstasy sebanyak 23 biji.

"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM4,000 dan sebuah komputer riba," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata lelaki dan teman wanitanya itu dalam lingkungan umur 20-an dan berdasrkan cara bungkusan dadah yang ditemui itu, polis percaya mereka cuba mengedar dadah itu.

Batumalai berkata lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau pada awal tahun 2000 kerana memiliki dadah.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain