suria

Lima Ahli Parlimen PKR Disebut-sebut Sertai Parti Zaid Ibrahim

PETALING JAYA: Adalah dijangkakan sekurang-kurangnya lima ahli parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyertai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang baru diterajui oleh Datuk Mohd Zaid Ibrahim.

Khabarnya mereka dijangka berbuat demikian menjelang 19 Januari ini iaitu tarikh penjenamaan semula parti berkenaan.

Malah terdapat desas-desus yang mengatakan terdapat ahli-ahli parlimen dari Barisan Nasional (BN) juga turut berminat untuk menyertai Kita.

Kita yang dahulunya dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) difahamkan turut bersedia membentuk pakatan atau kerjasama dengan satu parti baru yang akan ditubuhkan di Sabah tidak lama lagi.

Walaupun Zaid mengumumkan parti Kita tidak akan menyertai Pakatan Rakyat, ia dikatakan bersedia untuk menyertai pakatan dengan parti-parti yang menawarkan pilihan alternatif kepada rakyat.

"Kami bukan pengacau. Kami akan memfokus kepada isu-isu dan polisi. Inilah sebabnya kami berhasrat untuk mengikut model Britain, di mana pembuat undang-undang dan para pentadbir parti dipisahkan secara eksklusif," kata Naib Presiden Kita, Muhammad Firdaus Christopher.

Firdaus juga menjelaskan, Zakaria Salleh ialah presiden AKIM yang sebenar, dan bukan Hanafi Mamat sebagaimana yang dilaporkan oleh Agensi Berita Nasional, BERNAMA sebelum ini.

Zakaria tidak bertanding untuk dipilih semula sebagai presiden dalam Muktamar Agung Tahunan parti itu yang berlangsung Rabu. Ini bagi membuka laluan kepada Zaid mengambil alih jawatan tersebut.

Hanafi mendakwa dia ialah presiden parti yang sebenar dan berkata muktamar agung yang diadakan di Tropicana Golf Club sebagai tidak sah.

"Kami mempunyai surat daripada Pendaftar Pertubuhan bertarikh 20 Oktober yang mengesahkan kedudukan Zakaria sebagai presiden pada muktamar agung tahun lalu," kata Firdaus.

Zaid mengundurkan diri dari PKR bulan lalu sebagai protes terhadap kegagalan parti tersebut menangani isu pemilihan dalam pilihan raya parti itu baru-baru ini.

Zaid mengemukakan permohonan untuk menyertai Akim bulan lalu iaitu sejurus selepas beliau menghantar surat keluar dari PKR.

"Kami tidak akan bersaing dengan parti politik lain tetapi akan menyokong mereka sekiranya kami saling berkongsi prinsip yang sama," katanya.

Zaid memberitahu, beliau akan mengumumkan logo baru parti dan perlembagaan parti pada 19 Januari tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain