suria

Keputusan Inkues Beng Hock 5 Januari

SHAH ALAM: Segala persoalan mengenai kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock dijadualkan akan terungkai pada 5 Januari ini.

Pada tarikh tersebut, Koroner Azmil Muntapha Abas yang mendengar prosiding inkues kematian Teoh akan membuat keputusan berhubung sebab kematian mendiang.

Azmil Muntapha yang menetapkan tarikh itu pada prosiding di Mahkamah Koroner Jumaat, juga menetapkan 27 Disember ini untuk pihak yang terlibat dalam prosiding tersebut memfailkan hujahan balasan, sekiranya ada.

Bagaimanapun, tiada prosiding mahkamah akan dijalankan pada hari tersebut.

Teoh, 30, yang merupakan pembantu politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, di sini, pada 16 Julai 2009.

Kematiannya menimbulkan banyak spekulasi memandangkan beberapa jam sebelum itu, dia diminta hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 plaza sama bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan Kerajaan Negeri Selangor.

Kematian Teoh menyebabkan kerajaan memutuskan satu prosiding inkues, yang bermula pada 29 Julai 2009 bagi menentukan punca kematian mendiang.

Sepanjang prosiding inkues, mahkamah dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abbas dan peguam Tan Hock Chuan manakala keluarga Teoh diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo.

Tidak ketinggalan, Kerajaan Selangor menghantar peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Sreekant Pillai manakala SPRM diwakili oleh Ketua Unit Pendakwaannya, Datuk Abdul Razak Musa.

Pada pertengahan prosiding, peguam-peguam Salim Bashir dan Muhammad Rafique Rashid Ali hadir sebagai peguam pemerhati bagi Ean, ekoran timbul keterangan yang menyentuh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor itu.

Sebanyak 37 saksi inkues dipanggil memberi keterangan di mahkamah, termasuk lima orang doktor.

Tiga doktor tempatan, Dr Khairul Azman Ibrahim, Dr Prashant Samberkar dan Dr Shahidan Md Noor bersependapat dalam sebab kematian, iaitu Teoh membunuh diri.

Pendapat ini disokong oleh pakar daripada Britain, Dr Peter Venezis yang didatangkan khas sebagai pemerhati kepada SPRM dalam bedah siasat kali kedua.

Kerajaan Selangor juga menerbangkan pakar mereka dari Thailand, Dr Pornthip Rojasunan yang mengekalkan pendapat bahawa terdapat kemungkinan Teoh dibunuh.

Artikel Sebelum

Artikel Lain