suria

Kastam Tahan Wanita Indonesia Seludup Syabu Bernilai RM1.4 Juta

BUKIT KAYU HITAM: Kastam Diraja Malaysia Bukit Kayu Hitam mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu bernilai hampir RM1.4 juta apabila menahan seorang wanita Indonesia di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di sini.

Wanita berusia 28 tahun itu ditahan pada pukul 3.15 petang Selasa lepas dan syabu yang dianggar seberat 5.6 kilogram dirampas, kata Pengarah Kastam Kedah Ishak Ahmad.

"Seorang pegawai Kastam Hasil Unit Pemeriksaan Penumpang sedang melakukan pemeriksaan barangan melalui mesin pengimbas di ICQ di sini dan mendapati satu beg plastik yang mencurigakan milik seorang wanita warga Indonesia berusia 28 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati dalam beg suspek terdapat empat keping gambar lukisan tangan berbingkai kayu berisi 28 bungkusan plastik lutsinar yang berisi syabu yang disorokkan dalam bingkai kayu itu," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata wanita yang tidak bekerja itu dipercayai merupakan kaldai dadah kepada satu sindiket dadah.

Dadah itu dipercayai diseludup dari Bangkok untuk dipasarkan di Jakarta, katanya.

Beliau berkata wanita itu kini direman selama seminggu mulai semalam bagi membantu siasatan kes itu mengikut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain