suria

Kastam Lebih Tegas Banteras Rokok Seludup

LUMUT: Seramai 16 orang dihadap ke mahkamah dan dijatuhi hukuman denda menjangkau hingga RM2.7 juta selepas disabit dengan kesalahan berkaitan rokok seludup tahun ini, manakala 80 kes lagi sedang dalam siasatan.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf berkata tindakan kompaun tidak akan dikenakan lagi terhadap kesalahan berkaitan rokok seludup, hanya hukuman denda yang tinggi dan penjara sahaja menanti mereka yang terlibat.

Beliau berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur lagi dalam membanteras kegiatan itu, dan tindakan juga akan dikenakan terhadap semua yang terlibat termasuk peniaga kedai runcit atau restoran yang menjual rokok berkenaan.

"Kami akan heret mereka (pesalah) ke mahkamah walaupun ia melibatkan nilai rampasan yang rendah, di mana dalam satu kes, mahkamah menjatuhi hukuman denda RM2,000 sedangkan nilai rampasan kes itu hanya RM226," katanya kepada pemberita pada Majlis Pembukaan Operasi Patkor Kastima Ke-16 di Pangkalan Marin Kastam Kampung Acheh di sini Jumaat.

Mohamed Khalid berkata sebelum ini bagi semua kes yang melibatkan tangkapan orang yang disyaki, mereka akan ditawarkan bayaran kompaun mengikut nilai rampasan.

"Bagaimanapun tindakan itu diambil kesempatan oleh pihak sindiket, di mana mereka akan bayar kompaun yang dikenakan. Oleh itu kami ambil keputusan untuk tidak lagi menawarkan kompaun, sebaliknya akan terus menghadapkan mereka yang terlibat ke mahkamah," katanya.

Terdahulu Mohamed Khalid dan Direktur Jenderal, Direktorat Jenderal Bea dan Cukai Republik Indonesia, Thomas Sugijata, masing-masing saling bertukar dokumen Perintah Operasi mewakili pasukan Kastam Malaysia dan Indonesia.

Operasi bersama dari 15 hingga 23 Disember yang diadakan buat kali ke-16 itu membabitkan 10 kapal ronda, masing-masing lima buah dari kedua-dua negara dan 127 anggota yang terdiri daripada 59 anggota Kastam Malaysia dan 68 anggota Kastam Indonesia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain