suria

Imej Mahkamah Syariah Perlu Dijaga - Jamil Khir

KUALA TERENGGANU: Penjawat Mahkamah Syariah perlu menjaga tingkah laku, sahsiah dan akhlak mereka selaras dengan imej dan nama baik agama Islam yang diwakili institusi erkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Suka atau tidak, sebagai penjawat Mahkamah Syariah, masyarakat mempunyai pandangan yang berbeza terhadap kita, berbanding pandangan terhadap anggota masyarakat yang lain," katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Khazam Che Mat pada majlis perasmian Sukan Mahkamah Syariah Malaysia di sini Jumaat.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Ibrahim Lembut dan Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia Dr Mohamad Naim Mokhtar.

Jamil Khir juga berkata sukan di kalangan kakitangan Mahkamah Syariah bukan sekadar untuk tujuan rekreasi dan kecergasan semata-mata, malah diharap dapat melahirkan warga kerja Mahkamah Syariah yang bertanggungjawab, dinamik dan cemerlang.

Temasya Sukan Mahkamah Syariah Malaysia kali pertama dwitahunan itu melibatkan lapan acara dan disertai 623 pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah seluruh negara selama tiga hari. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain