suria

Balasan Ambil Tindakan Sendiri, Dua Dipenjara

SHAH ALAM: Tindakan dua lelaki melaksanakan undang-undang sediri dalam ‘menghukum’ seorang lelaki yang disyaki melakukan peras ugut membawa padah apabila ia berakhir dengan kematian.

Muhammad Faizal Mohd Rosli, 23, dan Muhammad Idra Razuan, 19, mengambil kesempatan memukul Mohd Adzrul Ishak, 35, yang tidak mampu untuk melawan selepas tangannya digari pada stereng sebuah kereta.

Kejadian berlaku, apabila polis terpaksa menggari mangsa dan meminta pertolongan daripada sekumpulan lelaki untuk menjaga mangsa sementara mereka mengejar seorang lagi suspek yang dikatakan berada di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, semasa kembali ke kereta, mangsa didapati pengsan di tempat duduk penumpang kereta jenis Honda Civic WAD 9802 dan mengalami kecederaan akibat dipukul.

Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini disahkan meninggal dunia pada pukul 7.55 malam, 2 Mei 2009 dan sebab kematian ialah kecederaan di bahagian kepala disebabkan oleh objek tumpul.

Dua hari kemudian, Muhammad Faizal yang bekerja sebagai penjaga stor di Pelabuhan Klang ditahan bersama Muhammad Idra, seorang juruteknik atas kesalahan itu dan didakwa atas tuduhan membunuh.

Bagaimanapun, mereka terselamat daripada hukuman mati selepas ditawarkan pertuduhan pilihan dan tanpa membuang masa, tertuduh memilih untuk mengaku bersalah menyebabkan kematian mangsa.

Muhammad Faizal didakwa melakukan kesalahan itu dengan memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar manakala Muhammad Idra bersenjatakan pengunci stereng.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 1.30 pagi, 1 Mei 2009 di tepi Lingkaran Sultan Hisamuddin, Pelabuhan Klang.

Pertuduhan pilihan ditawarkan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh tahun bagi kesalahan itu.

Hukuman diperintahkan bermula daripada tarikh tangkap, 4 Mei 2009.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin manakala barisan pembelaan dibarisi oleh Afifuddin Mohd Hafifi dan Ab Kadir Ismail.

Artikel Sebelum

Artikel Lain