suria

Siasatan Salahguna Kuasa Dan Rasuah Tajuddin Ramli Masih Berjalan - SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan kes rasuah dan salahguna kuasa bekas Pengerusi Malaysia Airlines (MAS), Tan Sri Tajuddin Ramli ekoran terdapat bukti baru diperoleh suruhanjaya itu.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM Tan Sri Hadenan Jalil berkata pihaknya menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kes itu telah dihentikan penyiasatannya.

"Dakwaan bahawa SPRM tidak jalankan siasatan berhubung kes ini adalah tidak benar, siasatan masih lagi berjalan. Bukti baru yang kita dapati ini adalah daripada pelbagai sumber," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata siasatan kes yang dibuat sejak 2002 itu akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menggesa kerajaan menyiasat semula kerugian yang pernah dialami MAS sebanyak RM8 bilion ketika syarikat tersebut diterajui Tajuddin dalam tempoh antara 1994 dan 2001.

Berdasarkan laporan yang dibuat kepada SPRM, kerugian utama yang direkodkan ketika syarikat itu ditadbir Tajuddin ialah penempatan semula operasi kargo MAS di Amsterdam, Belanda dan Frankfurt, Jerman sebagai satu hab tunggal di Hahn, Jerman, yang mana syarikat penerbangan itu dipaksa menyertai kontrak pesawat yang merugikan dengan sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan keluarga Tajuddin. - BERNAMA

Artikel Lain