suria

Sepasang Kekasih, Remaja Didakwa Menculik

SELAYANG: Sepasang kekasih dan seorang remaja yang didakwa menculik seorang penuntut kolej bagi mendapatkan wang untuk membayar hutang ah long dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

I.Shatiruben, 22, G.Vasantha Kumari, 22, dan Mujahidin Nazardin, 18, sekadar menyatakan bahawa mereka faham akan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Kamaludin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Shatiruben dan Vasantha Kumari tidak bekerja manakala Mujahidin merupakan seorang operator pengeluaran.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ke atas mangsa yang berusia 23 tahun pada pukul 5.45 pagi, 1 Disember lalu di hadapan sebuah rumah di Selayang Baru, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hidayah Raihan Md Nasir mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati dan jika tidak perlulah dihukum dengan penjara seumur hidup dan akan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Nurul Hafizah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Januari depan.

Pada 5 Disember lalu, sebuah akhbar tabloid melaporkan perbuatan tiga sekawan menculik untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang ah long.

Bagaimanapun, semua mereka ditangkap selepas terjerat dalam perangkap yang dibuat oleh pihak polis di Rawang, dekat sini.

Artikel Lain