suria

Remaja 16 Tahun Didakwa Merompak

SHAH ALAM: Seorang remaja berusia 16 tahun antara yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan merompak seorang pemilik kedai, seminggu lalu.

Turut didakwa ialah seorang ibu tiga anak, Zaleha Abd Latif, 21, dan Muhamad Azizi Misnan, 20, yang asyik mengesat air mata semasa memberikan pengakuan tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Mereka didakwa merompak rumah milik Azahah Abd Rahman, 53, yang menyewakan kedai kepada tertuduh yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 8.30 malam, 9 Disember lalu di rumah bernombor 19498, Jalan 9, Kampung Sungai Kertas, Batu Caves, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Che Rohana memberitahu, pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

“Kesalahan yang dilakukan adalah amat serius dan semakin berleluasa kebelakangan ini, selain terdapat penggunaan senjata di dalam kes ini,” katanya.

Bagaimanapun, semua tertuduh merayu dibenarkan jaminan kerana penjamin mereka hadir ke mahkamah.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membenarkan semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 18 Januari tahun depan untuk tertuduh melantik peguam.

Artikel Lain