suria

Program Permata Seni Adalah Pelaburan Modal Insan Jangka Panjang, Kata Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Program Permata Seni adalah pelaburan modal insan jangka panjang negara dan sejajar dengan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang mensasarkan pembangunan masyarakat cemerlang.

Perdana Menteri berkata program tersebut akan terus menjadi sebahagian daripada rancangan utama negara.

"Saya yakin peserta-peserta Permata Seni mampu membuktikan bahawa kanak-kanak Malaysia mempunyai bakat yang mampu diketengahkan ke persada antarabangsa.

"Kanak-kanak terasuh merupakan nadi negara, pemimpin akan datang dan penentu hala tuju Malaysia pada kemudian hari. Setiap anak Malaysia juga tidak kira apa pun latar kaum, adalah aset nasional serta warisan masa depan," katanya dalam buku cenderahati sempena Konsert PERMATA Seni yang diadakan di Istana Budaya di sini selama dua malam dan berakhir Rabu malam.

Konsert selama 90 minit itu, pada malam ini disiarkan secara langsung oleh TV2.

Najib berkata Program Permata Seni merupakan program terbaik untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang berbakat tinggi dalam bidang koir, muzik dan tari.

Ini adalah menjadi harapannya agar Konsert Permata Seni menjadi titik permulaan kepada manifestasi kecemerlangan anak-anak Malaysia secara berterusan, kata Perdana Menteri.

Sementara itu dalam ucapan ringkas beliau selepas menyaksikan konsert tersebut malam ini berkata konsert itu cukup hebat sekali.

"Saya berani nyatakan bahawa semua para penonton sama ada di sini (Istana Budaya) mahupun di rumah telah terpesona dengan persembahan ini. Ini merupakan titik permulaan kepada persembahan-persembahan yang berterusan dan pasti akan mengharumkan nama negara Malaysia, negara kita," kata beliau.

Turut berangkat ke konsert itu ialah Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung PERMATA, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan beberapa menteri kabinet.

Konsert Permata Seni anjuran Permata dengan kerjasama kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menyaksikan kanak-kanak dan remaja berusia antara enam dan 12 tahun membuat persembahan selepas mengikuti program Permata Seni dalam tiga bidang iaitu seni koir, seni muzik dan seni tari sejak Januari tahun ini.

Konsert itu dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Permata Seni Tari yang menggabungkan lima koreografi tari pelbagai kaum, segmen Permata Seni Koir yang menampilkan lima seleksi lagu-lagu koir, dan segmen Permata Seni Muzik yang akan menampilkan empat susunan lagu secara orkestra atau solo klasikal.

Acara kemuncaknya ialah gabungan ketiga-tiga segmen itu, iaitu tarian, nyanyian dan muzik dengan menampilkan persembahan medley lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. - BERNAMA

Artikel Lain