suria

Pasangan Nikah Sindiket 'Ustaz Hashim' Didenda RM800

KUALA LUMPUR: Sepasang mempelai yang didakwa dicekup oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) baru-baru ini, didenda RM800 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bernikah tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Khairul Azwadi Mohamed Noor pada penghakimannya Selasa, memerintahkan supaya Nurdin dan pasangannya Buswaton menjalani hukuman penjara selama 12 hari, jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Beliau juga membenarkan supaya wang jaminan tertuduh yang bernilai RM650 setiap seorang dijadikan sebahagian daripada jumlah denda.

Pada penghakimannya, Azwadi menyelitkan nasihat untuk pasangan tersebut mematuhi undang-undang termasuklah dalam perihal pernikahan.

“Jika ada masalah dengan wali, sepatutnya kamu boleh bertanya dengan orang-orang yang lebih mengetahui.

“Kalau ingin bernikah, ikut prosedur. Jangan terus percaya, sebaliknya bertanya kepada jurunikah bagaimana prosedurnya dan minta tauliahnya,” katanya.

Pihak media yang menunggu seawal pukul 8 pagi bagaimanapun gagal untuk mendapatkan kertas pertuduhan daripada pihak pendakwaan.

Berdasarkan berita yang tersiar di sebuah akhbar tabloid sebelum ini, pasangan tersebut dicekup bersama dua wanita dan 21 lagi lelaki oleh anggota penguat kuasa Jawi.

Ketika serbuan pada kira-kira pukul 8 malam, di sebuah rumah setinggan di Jalan Kubur, Pantai Dalam, dekat sini, pasangan tersebut berpakaian pengantin.

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, berkata ketika serbuan semua yang ditahan berada di dalam rumah berkenaan dan menyaksikan upacara pernikahan yang dilakukan jurunikah haram itu.

Bagaimanapun, jurunikah yang dikenali dengan panggilan Ustaz Hashim, seorang warga Indonesia dapat melarikan diri dengan memanjat siling rumah.

Ustaz temberang itu dipercayai sudah melakukan banyak upacara akad nikah termasuk lelaki yang ingin berpoligami dan dia akan membawa lukisan wajah seorang lelaki yang didakwa seorang daripada Wali Songo ke rumah setiap pengantin yang akan dinikahkannya.

Lukisan wajah dalam bentuk poster itu digunakan sebagai pengganti kepada wali pengantin perempuan yang dinikahkannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain