suria

OKU Hantar SMS Ugutan Didenda RM1,000

KUALA LUMPUR: Akibat mengugut seorang rakan yang menuntut ganti rugi telefon bimbit yang dicurinya, seorang lelaki cacat pendengaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.

Mohd Rizal Ahmad, 30, dituduh menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berbaur ugutan terhadap Mohd Khairul Safri Abdul Aziz, 26.

SMS tersebut didakwa berbunyi “Ahh berlagak ar tu, ko tengok ar aku akan bunuh kau juga!” dan “Haha aku datang senyap2 ar ko tunggu je ar, kau anak haram.”

Tertuduh yang bekerja sebagai penghantar surat didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 6.45 pagi, 28 April 2008.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa menghantar SMS itu dua minggu selepas diminta menjelaskan ganti rugi terhadap telefon bimbit adik Mohd Khairul yang didakwa dicuri tertuduh.

Tertuduh bukan sahaja enggan menjelaskan ganti rugi, tetapi telah melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

Pada prosiding Rabu, di hadapan Majistret Zulkifli Abdullah, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan.

“Saya merupakan penanggung tunggal keluarga dan menyara seorang anak yang masih kecil manakala isteri saya yang tidak bekerja sedang mengandung lima bulan,” katanya.

Zulkifli selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh memerintahkan dia untuk membayar denda RM1,000 yang kemudiannya dijelaskan oleh isteri tertuduh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain