suria

Kumpulan Proton Sasar 6,500 Unit Saga FL Sebulan

SHAH ALAM: Kumpulan Proton Berhad (Proton) mensasarkan jualan bagi model baru Saga Facelift (FL) sebanyak 6,500 unit sebulan.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, jualan model Saga adalah stabil sejak diperkenalkan pada tahun 2008 dan pengenalan versi baru ini dapat meningkatkan jualannya.

"Saga FL kekal berpatutan apabila kami dapat mengawal kosnya meskipun terdapat penambahan ciri dengan reka bentuk lebih bergaya.

"Ini bertetapan dengan nilai berpatutan sebagai isu utama pengguna yang menjangkakan Saga adalah kereta paling murah," katanya pada sidang media selepas memperkenalkan model berkenaan di sini, Rabu.

Syed Zainal Abidin berkata, Saga FL dijangka dapat menarik perhatian generasi muda yang gemar sesuatu lebih bergaya dan trendi.

Menurutnya, hari ini golongan itu tidak cenderung kepada Saga kerana persepsi mereka terhadap model itu yang disifatkan tradisional tanpa ciri tambahan.

"Bagaimanapun, Saga FL bakal menjadi ikon kepada legasi 25 tahun bagi model itu kekal sebagai pilihan masyarakat.

"Saya percaya Saga FL dapat menjadi ikutan generasi muda dan semestinya sebagai kereta yang sesuai dengan harga berpatutan tepat pada masanya," katanya.

Saga FL baru terdiri daripada dua varian iaitu 1.3 Standard dan 1.3 Executive masing-masing boleh didapati dalam automatik dan manual transmisi.

Harga pasaran bermula RM37,998 iaitu antara RM1,000 dan RM1,300 berbanding model Saga sedia ada.

Sebanyak enam warna pilihan iaitu Tranquility Black, Solid White, Generatic Silver, Granite Grey termasuk dua warna baru iaitu Blue Rock dan Cafe Latte.

Orang ramai boleh membuat tempahan bagi Saga FL dengan bayaran sebanyak RM500 dan melihat model berkenaan dipamerkan di semua bilik pameran Proton seluruh negara bermula hari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain