suria

DEB Masih Relevan Walau Tempoh Pelaksanaan Sudah Berakhir - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih relevan walaupun tempoh pelaksanaannya telah berakhir.

Beliau berkata, dalam konteks negara berbilang etnik yang penduduknya mempunyai tahap kemajuan serta pencapaian yang pelbagai, DEB yang diperkenalkan pada tahun 1970 sehingga 1990 tidak hanya tertumpu membantu golongan Bumiputera tetapi semua rakyat berpeluang mendapat faedah daripada pembangunan negara.

"Strategi DEB, iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira kumpulan etnik dan penyusunan semula masyarakat adalah untuk menghapuskan pengenalan etnik berasaskan fungsi ekonomi.

"Ia dilaksana dalam konteks ekonomi yang berkembang bagi memastikan semua kumpulan etnik dapat menyertai kegiatan ekonomi dan menikmati kekayaan secara adil dan saksama," katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Tony ingin tahu dasar-dasar afirmatif Bumiputera semasa yang akan dirombak supaya ia menjadi lebih mesra pasaran dan berasaskan merit dan menuju kepada golongan Bumiputera berpendapatan 40 peratus yang terendah.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah mengkaji semula instrumen sedia ada akan terus dilaksanakan manakala instrumen baru akan diperkenalkan dari semasa ke semasa ke arah pencapaian agenda pembangunan nasional.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dasar afirmatif akan dilaksana secara inklusif berasaskan prinsip mesra pasaran, asas keperluan, merit dan ketelusan.

Katanya, dasar itu dilaksana bertujuan menangani masalah ketaksamaan ekonomi secara membina dan produktif bagi memastikan semua golongan masyarakat dapat menyertai dan menikmati hasil pembangunan negara secara saksama.

"Menerusi dasar itu, tumpuan khusus diberi kepada kumpulan isi rumah 40 peratus terendah berdasarkan keperluan termasuk masyarakat Orang Asli, Bumiputera minoriti Sabah dan Sarawak, isi rumah miskin bandar dan luar bandar, penduduk kampung baru Cina dan pekerja estet," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain