suria

RM13,000 Belanja Kenduri Kahwin Dilarikan Peragut

KOTA BAHARU: Seorang suri rumah kerugian lebih RM16,000 selepas beg yang mengandungi wang tunai dan barang-barang kemas dibawanya diragut oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal di sini Selasa.

Mangsa, Meksom Dollah, 55, berkata kejadian berlaku pukul 2.45 petang ketika beliau hendak membuka pintu kereta sebelah kiri selepas mengambil barang-barang kemas di kedai berdekatan.

"Saya rasa beg saya ditarik dari arah belakang, bila saya berpaling ternampak seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha LC melarikan diri ke Jalan Sultanah Zainab di sini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata suaminya yang memandu kereta itu bagaimanapun gagal bertindak kerana peragut terbabit memecut laju memasuki Jalan Sultanah Zainab sebaik berjaya merampas beg darinya.

"Dalam beg itu ada wang tunai RM13,000, barang-barang kemas kira-kira RM3,000, kad kredit dan tiga buah buku bank Tabung Haji," katanya.

Beliau berkata wang itu baru dikeluarkan dari Tabung Haji untuk majlis perkahwinan anaknya yang dijadualkan Isnin depan di Kampung Kedai Mulung, Seberang Lati di sini.

Seorang jurucakap polis mengesahkan telah menerima laporan dari mangsa kira-kira pukul 3 petang di Balai Polis Kota Baharu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain