suria

Remaja Lemas Ketika Memancing

PASIR MAS: Keterujaan seorang remaja lelaki untuk pergi memancing bertukar tragedi apabila dia lemas di dalam tali air dalam kejadian di Kampung Bechah Landak, Bunut Susu di sini semalam.

Lebih menyayat hati apabila ibunya, Zainab Ariffin, 50, sanggup bertarung nyawa dengan terjun ke dalam tali air untuk menyelamatkan mangsa, bagaimanapun mangsa ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Zainab berkata anaknya Muhd Fikri Abdullah, 11, dikatakan terjatuh ke dalam tali air itu ketika sedang memancing bersama dua adik beradiknya.

"Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.30 petang semalam, oleh anak sulong saya, Harma Abdullah, 35.

"Saya yang terkejut dan berdebar kemudian terus berkejar ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah dengan harapan dapat menyelamatkan Fikri," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata sebaik tiba di tali air itu beliau tanpa berfikir panjang terjun ke dalamnya untuk mencari anaknya bagaimanapun menemui mangsa tersangkut di kayu di dasar tali air tersebut dengan keadaannya sudah tidak bernyawa.

Sementara itu, abang mangsa, Harma ketika menceritakan detik cemas itu berkata, beliau bersama Muhd Fikri dan seorang lagi adiknya keluar rumah untuk keluar memancing di kawasan tersebut yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Sebelum kejadian saya berada tidak jauh dari tempat adik saya memancing dan selepas itu saya menyedari dia telah tiada di tempat tersebut dan disangkakan dia pulang awal ke rumah.

"Selepas beberapa minit saya mula mengesyaki Muhd Fikri telah hilang selepas terjatuh dalam tali air," katanya.

Risau dengan keadaan tersebut katanya beliau terus pulang ke rumah untuk memaklumkan kepada ibunya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Supritendan Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain