suria

Pendedahan Wikileaks: Malaysia Secara Rasmi Serah Surat Protes Kepada Singapura

KUALA LUMPUR: Malaysia secara rasminya telah menghantar surat protes kepada Singapura untuk menyatakan pendirian dan rasa tidak puas hati negara ini atas komentar yang dikeluarkan oleh para diplomat kanan republik itu ke atas negara ini sebagaimana yang didedahkan oleh laman web WikiLeaks.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika mengumumkan demikian berkata, Wisma Putra telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia, T. Jasudasen mengadap pada Selasa, untuk diserahkan surat protes berkenaan.

Menurut Anifah, walaupun Wisma Putra tidak mengharapkan negara jirannya itu menyatakan permohonan maaf, tetapi kerajaan mahu merakamkan secara rasmi rasa tidak senangnya dengan tindak tanduk pegawai-pegawai tinggi diplomatik republik berkenaan memberi komen yang tidak sepatutnya mengenai Malaysia.

Katanya, laporan yang didedahkan oleh laman web berkenaan tidak memberi apa-apa faedah kepada kedua-dua buah negara melainkan memalukan komuniti diplomatik sahaja.

"Jika ada pegawai saya iaitu dari Wisma Putra sendiri mengatakan sesuatu mengenai para pemimpin Singapura, saya akan berasa sangat malu dan marah kerana ia tidak memberi apa-apa kebaikan kepada hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara," kata Anifah kepada para wartawan di lobi Parlimen, Selasa.

Bagaimanapun, Anifah berkata yang beliau memberitahu Jasudasen bahawa Singapura harus juga mengambil kira perasaan kerajaan dan rakyat Malaysia di atas komentar-komentar yang dibuat oleh para pegawai diplomatiknya itu.

Malah beliau memberitahu pesuruhjaya Singapura itu bahawa mentadbir Malaysia adalah jauh berbeza daripada mentadbir Singapura yang hanya merupakan sebuah bandar berbanding Malaysia.

"Mereka tidak ada penduduk yang mendiami kawasan luar bandar, jadi mereka tidak berhadapan dengan masalah yang kita hadapi jadi apakah rujukan yang mereka buat ke atas soal ketidakcekapan itu merujuk kepada cara bagaimana kita mentadbir negara kita," kata Anifah.

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain