suria

Mayat Lelaki Dengan Kesan Pukulan Di Kepala Ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan pukulan di belakang kepala di sebuah bangunan kosong berhampiran Jalan Imbi di sini, Isnin.

Mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan terbaring dan beralaskan tuala di belakang kepalanya oleh orang awam pada pukul 12 tengah hari.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman.

"Polis percaya lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu telah bergaduh di tempat lain dan ke bangunan itu bagi mendapatkan perlindungan sebelum ditemui mati.

"Kami tidak menolak kemungkinan lelaki itu dipukul atau dihentak dengan objek keras berikutan ada kesan tumpul di belakang kepalanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zulkarnain berkata tiada senjata ditemui dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Beliau berkata kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain