suria

HKL Hospital Kerajaan Pertama Amalkan Konsep Kitar Semula

KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjadi hospital kerajaan pertama yang mengamalkan konsep amalan kitar semula menerusi penubuhan Kumpulan Alam Sekitar.

Pengerusi Kumpulan Alam Sekitar berkenaan Dr Noor Haliza Yussof berkata jawatankuasa induk kumpulan itu yang mengandungi 17 orang daripada kakitangan HKL berperanan untuk memberi kesedaran kepada kakitangan hospital mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

"Kumpulan ini akan digerakkan untuk projek-projek kitar semula seperti kempen kitar semula, ceramah dan sebagainya untuk mencetuskan kesedaran di kalangan kakitangan HKL untuk mengumpul barangan buangan hospital yang boleh dikitar semula," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengarah II HKL Dr Ding Lay Ming yang mewakili Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain melancarkan kumpulan berkenaan di HKL pada Selasa.

Dr Haliza yang juga pakar perunding kanan Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan HKL, berkata penubuhan kumpulan itu dapat mengurangkan kos yang terpaksa dibayar oleh pihak hospital kepada kontraktor pembersihan.

Beliau berkata penubuhan kumpulan itu tercetus setelah beliau melihat banyak barangan buangan hospital yang boleh dikitar semula dibuang begitu sahaja.

"Lebih baik barangan berkenaan dikumpul dan dihantar ke kilang untuk dikitar semula," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyalurkan hasil daripada projek berkenaan bagi membantu pesakit yang mempunyai masalah kewangan.

"Apabila (kewangan) dah besar, kita boleh membantu pesakit yang mempunyai masalah untuk membayar bil perubatan," katanya.

Sempena pelancaran kumpulan itu, beberapa aktiviti seperti ceramah dan pameran turut diadakan untuk kakitangan hospital berkenaan melibatkan agensi kerajaan dan swasta termasuk Jabatan Alam Sekitar, Alam Flora Sdn Bhd dan Tabung Hidupan Liar (WWF). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain