suria

Dua Bekas Pengarah Syarikat Iklan Dilepas Dan Dibebaskan Dari Tuduhan Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah urusan syarikat pengiklanan Ganad Media Sdn Bhd dan bekas pengarah akaun syarikat itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Isnin terhadap tuduhan membabitkan pecah amanah terhadap syarikat itu, 11 tahun lepas.

Hakim Rosenani Abdul Rahman membuat keputusan itu terhadap Cho Sing Koo, 59, dan Tay Lee Fung, 44, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu di akhir pembelaan.

Rosenani berkata terdapat banyak keraguan yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan yang tidak dijelaskan oleh pihak pendakwaan.

Cho telah didakwa melakukan pecah amanah sebagai pengarah urusan syarikat Ganad Media yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas satu papan iklan di persimpangan Jalan Tebrau dan Jalan Datuk Sulaiman, Johor Baharu manakala Tay didakwa bersubahat dengan Cho bagi kesalahan yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ganad Media Sdn Bhd di Jalan Bukit Bintang di sini antara 16 Jun 1999 dan 31 Mac 2000.

Cho didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, manakala Tay didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang mana kedua-dua kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Rosenani berkata, Cho yang merupakan tertuduh pertama dalam kes itu, yang memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi menyatakan bahawa beliau bertanggungjawab untuk mengawal selia unit-unit di bawahnya, namun segala keputusan syarikat akan dibuat oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ganad Group Company, Gan Kok Beng.

"Bagaimana Cho boleh mempunyai hak eksklusif mengenai papan iklan tersebut, sedangkan CEO Ganad Group Company yang membuat segala keputusan mengenai syarikat itu dan adalah sukar dan tidak munasabah Cho membuat keputusan sendiri tanpa pengetahuan ketuanya," katanya.

Mengenai Tay, yang merupakan tertuduh kedua, mahkamah mendapati tiada keterangan saksi yang menunjukkan penglibatannya dalam urusan membabitkan papan iklan tersebut. Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S.Devanandan mengemukakan 21 saksi, manakala seramai lima saksi pembelaan dikemukakan oleh pihak pembelaan yang diwakili peguam Hanif Khatri Abdullah dan N.Sivanesan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain