suria

Anggota Polis Trafik Dipenjara 36 Bulan, Denda RM50,000 Kerana Rasuah

KUANTAN: Seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan dihukum penjara 36 bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Selasa, selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan menerima rasuah daripada seorang pemilik lori pasir, tahun lepas.

Hakim Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Mahir Epandi Ahmad, 48, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung pertuduhan itu.

Mahir Epandi didakwa menerima suapan RM500 daripada Teoh Ting Keong sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap lori-lori angkut pasir milik Teoh yang dikatakan melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 di kafe Hotel Seri Malaysia pada pukul 5.16 petang pada 10 Julai tahun lepas.

Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang juga didakwa menerima amaun, untuk tujuan dan di tempat yang sama daripada Teoh pada 6 Ogos tahun lepas pada pukul 11.20 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, bagi setiap kesalahan.

Sebelum itu, peguam yang mewakili tertuduh, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang lebih ringan kepada tertuduh memandangkan dia menunjukkan rekod perkhidmatan yang baik dengan Polis Diraja Malaysia sejak tahun 1979.

Selain itu, katanya, tertuduh akan kehilangan kerjanya dan akan dikenakan tindakan oleh jabatannya menyebabkan isteri dan anaknya seramai empat orang akan kehilangan tempat bergantung.

Bagaimanapun, Noradidah berkata kes itu merupakan kes yang serius kerana melibatkan penjawat awam dan kepentingan awam.

Beliau bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap tertuduh ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Syed Termizi Syed Musa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain