suria

Wanita Maut Dilanggar Lori Di Hadapan Hospital Pusrawi

KUALA LUMPUR: Seorang pelatih wanita sebuah syarikat telekomunikasi maut apabila motosikal yang ditunggangnya digilis lori di hadapan Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak di sini, Isnin.

Nor Azima Abdul Aziz, 22, dari Bukit Gong, Pahang mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kejadian pada pukul 3.15 petang itu menyebabkan kesesakan teruk selama sejam di kedua-dua arah Jalan Tun Razak.

"Dalam kejadian itu, motosikal jenis 135 LC yang ditunggang mangsa hilang kawalan setelah bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Waja lalu terperosok di bawah lori.

"Lori itu yang sedang bergerak kemudian melanggar mangsa sebelum melarikan diri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Abdullah berkata wanita terbabit dikatakan menjalani latihan di Celcom, Jalan Semarak dan keluarganya telah dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Polis kini mengambil keterangan daripada pemandu kereta Proton Waja terbabit dan meneliti rakaman CCTV berdekatan kawasan kejadian bagi mendapatkan nombor pendaftaran lori itu.

Abdullah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Insp Saiful Bahari di talian 013-7372879 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain