suria

Samy Vellu Dilantik Duta Khas Infrastruktur Bagi India Dan Asia Pasifik

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Datuk Seri S.Samy Vellu sebagai duta khas Malaysia untuk infrastruktur bagi India dan rantau Asia Selatan berkuatkuasa 1 Jan ini, Ahad.

Katanya pelantikan itu adalah pengiktirafan sumbangan besar bekas presiden MIC itu, yang juga bekas Menteri Kerja Raya, dalam membantu syarikat Malaysia melaksanakan projek pembangunan di benua kecil India itu.

"Kami tidak mahu kehilangan bakatnya dan hubungannya dengan negara-negara ini dan saya pasti banyak syarikat akan mendapat manfaat daripada peranannya sebagai duta khas untuk infrastruktur," katanya ketika melancarkan buku biografi Samy Vellu bertajuk 'A Life. A Lengend. A Legacy' di sini.

Majlis Di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia, The Mines Resorts (MIECC) di Seri Kembangan, dekat sini, turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan presiden MIC baru Datuk G. Palanivel. Jawatan duta khas itu bertaraf menteri.

Najib juga memuji Samy Vellu atas sumbangannya selepas berkhidmat untuk rakyat dan negara selama 31 tahun khususnya dalam menubuhkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Kolej TAFE, Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), Yayasan Strategik Sosial (YSS) dan Yayasan Pemulihan Sosial.

"Saya harap anda akan bercakap tentang legasi Datuk Seri S.Samy Vellu...Saya harap semua pertubuhan ini akan terus berkembang pada masa depan," katanya.

Dalam ucapannya, Najib juga meminta MIC di bawah kepimpinan baru untuk bergerak sebagai satu pasukan dalam memperkukuhkan perpaduan parti dan mengenepikan kepentingan dan cita-cita peribadi.

"Saya mengharapkan MIC. Saya mahu memastikan Barisan Nasional (BN) akan menang pada pilihan raya umum akan datang. Kami (parti komponen BN) perlu berkerja sebagai satu kumpulan, bersatupadu dan perlu menunjukkan di bawah kepimpinan baru MIC, kita boleh bangkit menyahut cabaran," katanya.

Sebagai Pengerusi BN, Najib berkata MIC perlu mula melihat calon yang boleh membawa kejayaan, yang juga pilihan rakyat bagi memastikan reputasi MIC kekal mantap di peringkat kebangsaan dan negeri.

Samy Vellu, 74, presiden parti yang paling lama, menyerahkan tampuk kepimpinan parti kepada Palanivel awal bulan ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain