suria

Saksi Penting Nafi Berbohong Untuk Selamatkan Diri

SHAH ALAM: Saksi penting pada perbicaraan kes kematian seorang pelajar tingkatan tiga, AminulRasyid Amzah yang didakwa ditembak oleh seorang anggota polis kereta peronda menafikan bahawa dia berbohong dalam keterangannya di Mahkamah Seksyen di sini.

Konstabel Mohd Izham Mahayadin juga menegaskan bahawa dia tidak bersetuju dengan kenyataan peguam Salim Bashir yang menyatakan saksi berbohong bagi melindungi diri sendiri daripada dituduh dalam kes itu.

Ini kerana, saksi juga merupakan individu yang turut melepaskan tembakan terhadap kereta Proton Iswara BET 5023 yang dipandu oleh AminulRasyid pada hari kejadian selain tertuduh, Koperal Jenain Subi.

Pada kejadian tersebut, saksi yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-28 dan Jenain menembak dari dua kereta peronda polis yang berlainan, semasa kereta AminulRasid dikejar sejauh 5 kilometer.

“Saya tidak bersetuju kerana saya tidak mempunyai apa-apa kepetingan dalam kes ini,” kata Mohd Izham pada perbicaraan Jumaat.

Selain itu, semasa disoal oleh seorang lagi peguam, M.Athimulan, saksi turut memberitahu, tindakan dia dan pemandu kereta peronda, Koperal Azhar Hashim mengejar kereta itu bukan bertujuan untuk menganiaya ataupun membunuh remaja tersebut.

Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada tugasnya untuk menghentikan sesebuah kenderaan sebelum dilakukan pemeriksaan. Saksi menambah, mereka tidak ada melanggar kereta tersebut dalam percubaan untuk menghentikan kereta milik kakak AminulRasyid yang dikatakan dipandu dalam keadaan laju dan merbahaya itu.

“Tiada sebab untuk kami melanggar kerana ia akan membahayakan nyawa kami,” katanya.

Mohd Izham yang bertubuh kecil dan berkulit cerah itu juga memberitahu, tindakan untuk mengejar kereta itu dibuat kerana kereta tersebut disyaki baru terlibat dengan kejadian jenayah.

Anggapan itu timbul ekoran keadaan kereta yang dilihat dipandu dengan laju berhampiran Persimpangan SIRIM, melanggar lebih empat buah lampu isyarat dan tidak berhenti walaupun telah diarahkan untuk berbuat demikian.

“Sebelum ini, dalam banyak kejadian kejar-mengejar mebabitkan kereta, pemandu yang agresif akan menghentikan keretanya. Kalau lari pun hanya sekejap.

“Pada pandangan saya, berkemungkinan kereta itu baru terbabit dalam jenayah seperti samun aatau pecah rumah,” katanya.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, saksi mengakui bahawa tiada sebarang hebahan diterima sekiranya terdapat mana-mana kereta terlibat dalam kejadian jenayah pada malam itu.

Saksi yang bertugas di Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam juga berpendapat tembakan yang dilepaskannya pada hari tersebut adalah sah.

“Tembakan itu sah kerana pada waktu itu saya dalam keadaan bertugas dan kereta tersebut telah menimbulkan rasa tidak selamat pada saya dan pengguna jalan raya yang lain.

“Kereta tersebut juga tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti,” jelas Mohd Izham.

Dia menambah, tembakan tidak perlu menunggu arahan dariada pegawai yang bertugas, malah taklimat yang diterima juga hanya melibatkan prosedur keselamatan penggunaan senjata api.

Dalam kes ini, Jenain, 48, dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, yang didakwa dilakukan antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian 11/2, Jalan Tarian, di sini. Pendakwaan terhadapnya dikendalikan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung Selasa.

Artikel Sebelum

Artikel Lain