suria

Dr Rozmey... Janganlah Menyesal

NIEZAM sebenarnya tidak berhasrat untuk menyentuh mengenai filem 2 Alam terbitan Dr Movie Productions Sdn Bhd sebab filem itu pun sudah tak tayang lagi di panggung.

Tapi disebabkan terlalu ramai yang bertanya sambutan filem itu selepas mengikuti propaganda penerbitnya Datuk Dr Rozmey, Niezam tulis sedikitlah minggu ini.

2 Alam hanya bertahan kira-kira dua minggu iaitu tempoh wajib yang diberikan oleh Syarat Wajib Tayang kepada semua panggung wayang di negara ini agar menayangkan sesebuah filem.

Ini bererti kalau sesebuah filem itu laris dan mendapat sambutan, waktu tayangan boleh dilanjutkan. Kalau tak laku dan tak ada orang menonton, pengusaha panggung dibenarkan untuk tidak menayangkan sesebuah filem itu.

Menurut laman portal Finas sehingga 8 Disember lalu, 2 Alam hanya berjaya mengutip sebanyak RM430,000 sahaja. Bajet filem itu ialah RM1.51 juta tidak termasuk promosi.

Ini bermakna Dr Rozmey telah menanggung kerugian membikin sebuah filem bernama 2 Alam.

2 Alam juga tidak mencapai sasaran RM40 juta seperti yang Dr Rozmey angan-angankan.

Kepada Dr Rozmey, Niezam hanya mampu meminta dia bersabar banyak-banyak dan janganlah putus asa. Lepas ni macam-macam filem berunsur “alam” lain boleh dihasilkan. Adat orang berniaga, mesti rugi dulu sebelum untung.

Ada filem lain lebih buruk dan busuk dari 2 Alam tetapi kesilapan yang harus Dr Rozmey pelajari macam mana hendak membuatkan filem itu berjaya mencapai boxoffice.

Dr Rozmey harus belajar dengan penerbit-penerbit filem seperti Datuk Yusof Haslam dan juga David Teo. Yusof digelar jutawan filem ketika dia menghasilkan filem Pemburu Bayang dan Sembilu. Dalam filem itu Yusof menggunakan strategi mengambil artis popular seperti Awie, Ella dan Erra Fazira ketika itu untuk memancing penonton.

David Teo pun sama, walaupun ada yang menganggap sesetengah filemnya haprak serta tak ada mesej tetapi jalan cerita yang relevan dengan budaya hari ini menjadi perhatian David sehingga kebanyakan filemnya mencapai sambutan luar biasa.

Malah David Teo juga seorang yang berani mengeluarkan kenyataan secara jujur termasuklah menghentam mana-mana artis yang buat hal dengannya. Itu cara David mendapatkan publisiti percuma.

Kalau nak ikutkan Dr Rozmey lebih hebat daripada penerbit-penerbit filem lain. Dr Rozmey tidak meminta-minta untuk mendapatkan publisiti sebaliknya menggunakan wangnya bagi membeli iklan di akhbar dan majalah.

Sesetengah penerbit filem kita kedekut nak beli iklan. Harap nak wartawan tulis secara percuma.

Itu bagusnya Dr Rozmey tapi sayang sekali Dr Rozmey membuat kesilapan besar apabila tidak menilai skrip filemnya dengan sebaik mungkin. Sepatutnya dengan bajet membeli iklan berskala besar boleh dipertaruhkan untuk menghasilkan sebuah filem yang lebih hebat lagi daripada 2 Alam.

Dr Rozmey juga membuat kesilapan apabila menjadikan iklan yang dibelinya untuk menghentam orang lain sesuka hati. Itu tak betul, ini tak betul, Finas pun tak betul. Seolah-olah dia saja yang betul. Sedangkan semasa pembikinan 2 Alam, khabarnya macam-macam benda tak betul telah berlaku termasuklah bertukar pengarah pada saat-saat akhir.

Antara kesilapan lain apabila Dr Rozmey terlalu mahu menonjolkan dirinya berbanding penonjolan yang sepatut diberikan kepada pelakon. Kesilapan itu yang mungkin Dr Rozmey tidak sedari telah menyebabkan filem itu tidak laku sedangkan strategi pemasaran yang dibuat adalah sesuatu yang berbeza di negara ini.

2 Alam meninggalkan kesan buruk kepada Dr Rozmey dan trauma yang berpanjangan. Tapi yang lebih trauma ialah mereka yang mengeluarkan wang untuk menonton filemnya. Ada yang keluar panggung separuh jalan.

Apa yang berlaku ini seharunya menjadi pengajaran kepada Dr Rozmey dan yang lebih penting jangan cakap besar.

NIEZAM: Tergelak bila ada pengarah mahu masuk alam bunian untuk buat filem pasal bunian.

Perlukah seksi kalau nak comeback

SEMENJAK dua menjak ni Niezam perhatikan ada beberapa orang artis sedang membuat comeback dalam dunia seni.

Mereka ini membuat kemunculan yang mengejutkan dengan memakai baju terbelah, terkoyak sana sini macam tak cukup benang. Alasan yang paling meluat nak dengar, seksi sikit-sikit apa salahnya sebab nak buat comeback.

Dari kitab mana artis-artis ni pakai Niezam tak tahulah? Alasannya lagi, dengan berimej seksi barulah mata orang akan terjojol. Setengah tu ada yang dah tua kerepot pun masih tak sedar diri dan mahu seksi lagi.

Tolonglah... ungkapan seksi untuk popular merupakan satu ayat yang tak boleh diterima lagi pada hari ini.

Hari ini juga orang dah tak hairan dengan imej-imej seksi. Malah kalau kita berjalan di sekitar KLCC pun, tak larat nak tengok anak-anak muda kita yang seksi. Kadang-kadang boleh seksa biji mata jadinya.

Bila ada artis yang membuat dakwaan dia perlu seksi untuk popular, artis itu nampaknya sudah pendek akal.

Kita ambil contoh bagaimana artis Indonesia Hetty Koes Endang boleh popular sampai hari ini tanpa mendedahkan “tuttt” nya. Begitu juga dengan Datuk Siti Nurhaliza yang tak pernah pun memakai skirt pendek sejak menjadi artis.

Malah sekarang ini artis macam Yuna yang pakai tudung litup tu pun popular sampai ke luar negara tanpa perlu mendedahkan tubuh ataupun perlu menjadi seksi.

Sebenarnya populariti seseorang itu terletak kepada bakat dan bagaimana dia membawa diri. Persoalannya hari ini lebih ramai artis “hampeh” daripada artis yang betul-betul berkualiti menyebabkan produk yang ada di pasaran pun macam hampas juga.

Kepada artis-artis yang sedang membuat kemunculan semula, carilah alasan lain jika mahu mendapatkan publisiti murah.

Jangan jadikan seksi sebagai alasan kerana sekarang ini orang dah tak sanggup nak tengok orang tua yang dah nak “pencen” berimej seksi.

NIEZAM: Lesung pipit pun boleh nampak seksi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain