suria

Umno Terbuka Terima Teguran Parti Komponan : Ahmad Zahid

BAGAN DATOH: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata Umno sebagai parti induk dalam Barisan Nasional (BN) harus bersikap terbuka menerima kritikan daripada pemimpin parti komponen. Beliau berkata teguran berupa satu proses kematangan dalam politik tetapi yang sebaik-baiknya segala kritikan itu dibuat secara perundingan dalaman bukannya melalui media.

"Dengan menggunakan media, ini akan dijadikan peluru oleh pembangkang untuk menggugat kedudukan BN," katanya kepada pemberita selepas melawat kampung nelayan Bagan Pasir Laut di sini, Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh sementara itu berkata pemimpin parti komponen perlu memberi tumpuan sebanyak mungkin maklum balas daripada akar umbi untuk melihat sokongan rakyat kepada BN.

Katanya, pemimpin BN perlu bekerja daripada sekarang dan tidak menunggu menjelang pilihan raya.

"Rakyat sekarang sudah bijak membuat penilaian terhadap wakil rakyat dan pemimpin BN yang sanggup turun padang mendengar permasalahan rakyat," katanya. Beliau berkata sokongan rakyat akan terjejas sekiranya pemimpin parti tidak memberikan perkhidmatan di peringkat akar umbi.

"Kita perlu mengutamakan rakyat kerana seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu masalah rakyat diberi keutamaan," katanya.

Beliau turut melahirkan kekesalan kerana masih ramai anggota parti komponen BN belum mendaftar sebagai pemilih.

Pemimpin parti komponen BN perlu memberi kesedaran kepada anggota parti supaya mendaftar, tambahnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain