suria

Siasatan Lanjut Berhubung Kes Pemandu Teksi Terkena Tembakan Polis

KUALA LUMPUR: Siasatan polis akan menjurus kepada prosedur yang ditetapkan termasuk cara tembakan dilepaskan berhubung kes seorang pemandu teksi cedera akibat peluru sesat berdekatan Pejabat Pos Jalan Pudu, September lepas, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah.

"Kita (polis) akan jalankan siasatan lanjut tentang bagaimana tembakan itu dilepaskan, sama ada ikut Prosedur Operasi Standard (SOP) atau tidak. Kita dah jumpa dia (mangsa) pun sebelum ini, dan kita akan jumpa dia lagi. Bukan bermakna polis tak kisah, polis dari mula lagi dah jumpa dia, sejak dia terkena tembakan itu lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog Ketua Polis Kuala Lumpur bersama persatuan penduduk Perumahan Awam Seri Perak di sini, Ahad.

Beliau berkata sekiranya hasil siasatan itu mendapati terdapat kecuaian daripada pihak polis, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sedia ada terhadap anggota polis terbabit.

Jumaat lepas, pemandu teksi, Yeow Leong Kang, 42, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Cheras di sini, selepas mendakwa tidak mendapat pembelaan sewajarnya selepas terkena tembakan sesat yang mengenai kedua-dua belah kakinya.

Ketika kejadian, Yeow mendakwa sedang berehat di dalam teksinya sebelum terkena tembakan itu dari arah bawah pintu teksinya dan terus menembusi betis kanannya dan kaki kirinya menyebabkan beliau terpaksa terlantar di rumah selama dua bulan akibat tidak mampu bergerak.

Yeow mendakwa seorang anggota polis yang mengaku tidak sengaja menembaknya, datang meminta maaf dan membantunya membuat rawatan di klinik berdekatan.

Sehubungan itu, beliau meminta pembelaan sepenuhnya dan menuntut pampasan setimpal dengan kecederaannya kerana terpaksa menggunakan wang simpanan untuk belanja dan rawatan harian.

Beliau turut berharap polis akan menyiasat kes itu dengan kadar segera dan mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang cuai semasa bertugas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain