suria

Penyelia Tapak Binaan Warga Myanmar Maut Ditetal Di Dungun

KUALA TERENGGANU: Seorang penyelia tapak binaan warga Myanmar maut dipercayai ditetak rakan senegara, dalam satu kejadian di kawasan pembinaan di Bukit Telekom, Kampung Pak Sabah, Dungun malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, anak saudara lelaki penyelia tersebut cedera parah, manakala rakannya seorang wanita warga Myanmar mengalami cedera ringan selepas mereka diserang empat lelaki bersenjatakan parang dan kayu.

"Empat suspek berkenaan telah datang ke rumah kongsi tempat mangsa tinggal dan dipercayai berlaku satu pergaduhan menyebabkan penyelia tapak binaan itu yang berumur 35 tahun maut akibat ditetak di kepala dan tangan.

"Anak saudara penyelia berkenaan pula mengalami cedera parah, manakala rakan wanitanya yang kebetulan datang melawat ke rumah itu cedera ringan akibat diserang, dan sempat keluar untuk mendapatkan pertolongan," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, Ahad.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham tentang gaji, yang mana mangsa bertanggungjawab dalam menyelaraskan soal pembayaran kepada pekerja Myanmar di kawasan pembinaan itu.

Katanya polis yang menerima laporan berhubung kejadian bergegas ke tempat tersebut, namun mendapati kesemua pekerja rakyat Myanmar di kawasan itu yang dianggar seramai 10 hingga 12 orang termasuk empat suspek, telah menghilangkan diri.

Polis kemudian melancarkan operasi mengesan mereka yang terlibat dan berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar di Dungun kira-kira dua jam selepas kejadian dan dua lagi di Kampung Besut, Kemaman pada pukul 11.50 malam tadi, bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan penahanan itu dan maklumat daripada majikan, kita telahpun mengenal pasti identiti keempat-empat suspek yang terlibat dan polis kini menjalankan operasi untuk mengesan mereka," katanya.

Manoharan berkata berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Anak saudara penyelia terbabit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Daerah Dungun, manakala wanita berkenaan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain