suria

Keluarga Mangsa Bunuh Oleh Amah Indonesia Dakwa Berasa Aib

KOTA BAHARU: Keluarga mangsa bunuh oleh amah Indonesia di Kampung Lubuk Tapah, Pasir Mas 6 Dis lepas, berkata laporan akhbar yang mengaitkan kematian mangsa dengan hubungan sulit antara suami mangsa dengan amah terbabit sebagai tidak benar dan mengandungi unsur mengaibkan.

Anak lelaki kedua mangsa, Lee Che Fu, 28, berkata beliau mahu akhbar yang menyiarkan laporan mengenai kejadian itu, terutama akhbar berbahasa Cina membuat pembetulan bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai. Dalam kejadian itu, mangsa Yeap Seok Pen, 60, dijumpai mati dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka dan terlentang dalam rumahnya kira-kira jam 1 petang.

Berikutan itu polis menahan seorang amah warga Indonesia berumur 21 tahun tidak berapa lama kemudian tidak jauh daripada rumah majikannya dan siasatan awal polis mendapati punca kematian adalah disebabkan cemburu.

Lee berkata, pihak keluarganya sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang jika media terbabit gagal berbuat demikian.

Beliau berkata, laporan itu sebenarnya lebih berdasarkan kepada kenyataan suspek daripada punca sebenar yang berniat untuk menutup kesalahannya yang disyaki cuba merompak keluarganya.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa polis kerana dapat menahan mangsa dalam masa singkat.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain