suria

Jemaah Haji 70 Tahun Diutamakan Untuk Tunai Haji Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Tabung Haji kini mengkaji untuk memendekkan waktu menunggu bagi menunaikan ibadah haji untuk warga emas yang berumur melebihi 70 tahun sebagai satu daripada usaha menambah baik perkhidmatannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ini adalah antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dicadangkan bagi jabatan dan agensi di bawahnya.

Pada masa ini, tempoh menunggu untuk menunaikan haji ditetapkan kepada 10 tahun, tetapi tidak melibatkan warga emas berusia 75 tahun ke atas dan Orang Kelainan Upaya (OKU), katanya kepada pemberita pada program pemukiman agensi-agensi di bawahnya di sini, Sabtu.

Untuk tahun ini, Jamil Khir berkata semua agensi di bawah seliaannya berjaya mencapai hampir keseluruhan daripada KPI yang disasarkan.

Antara pencapaian yang membanggakan ialah kenaikan elaun imam kepada RM750 sebulan daripada RM450 sebulan, serta elaun guru Kemahiran Asas Fardhu Ain (Kafa) dari RM500 kepada RM800 sebulan berkuatkuasa Januari tahun ini, katanya.

Jamil Khir berkata ini merupakan pencapaian terbesar memandangkan ia melibatkan hampir 34,000 guru Kafa dan hampir 14,000 imam di seluruh negara.

Selain itu, pencapaian tahun ini ialah sasaran untuk menubuhkan sebuah stesen TV Islam melalui pelancaran TV Al-Hijrah pada 7 Disember lepas yang kelolakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan peruntukan awal sebanyak RM60 juta daripada kerajaan, katanya.

Jamil Khir berkata jabatan itu juga dengan bimbingan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) kini dalam proses menyusun semula KPI kesemua jabatan serta agensi di bawahnya bagi tahun 2011.

Antara sasaran utama yang ditetapkan ialah memantapkan pengurusan pensijilan halal oleh Jakim, meningkatkan perkhidmatan Mahkamah Syariah dan memudahkan perkhidmatan Tabung Haji. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain