suria

Ejen Judi Haram Libatkan Pertaruhan RM96 Juta Di Johor Tumpas

KULAIJAYA: Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman semalam berjaya menumpaskan ejen judi haram melibatkan pertaruhan bernilai RM96 juta sejak beroperasi di sini setahun lalu.

Dalam serbuan yang dilakukan serentak pada 6.45 petang Sabtu, seorang lelaki dan dua wanita ditahan di sebuah rumah di Taman Sungai Emas, manakala tiga lagi termasuk dua wanita diberkas di sebuah rumah di Taman Inderapura di sini berkaitan aktiviti yang dipercayai turut didalangi warga Singapura itu.

Mereka yang berusia antara 17 hingga 49 tahun dan dipercayai pekerja sindiket, ditahan bagi membantu siasatan polis.

"Dua rumah tersebut dijadikan pusat penjumlahan judi bagi pertaruhan loteri awam secara haram di Johor dan Singapura, yang membabitkan wang pertaruhan bernilai RM8 juta sebulan, yang bersamaan RM96 juta setahun.

"Sekali pertaruhan boleh membabitkan sehingga RM400,000 daripada pelanggan tempatan dan S$60,000 dari Singapura," kata Supt Maszely Minhad yang mengetuai operasi kepada pemberita.

Maszely berkata pihaknya percaya kedua-dua rumah disewa sindiket itu untuk dijadikan tempat mengendali, mengurus serta merekodkan pertaruhan yang dihantar oleh ejen di sekitar Johor dan Singapura.

Beliau berkata menerusi intipan selama tiga minggu, pihaknya mendapati kegiatan judi haram itu dipercayai beroperasi setiap Selasa, Rabu, Sabtu dan Ahad.

"Polis sedang mengenal pasti dalang di sebalik sindiket ini, selain akan mengambil keterangan daripada pemilik rumah bagi membantu siasatan," katanya.

Antara peralatan yang dirampas termasuk 14 mesin faksimili, dua komputer riba, enam telefon bimbit, enam mesin pengimbas, kertas pertaruhan dan alat tulis.

Beliau berkata ketika diserbu, ada pekerja terbabit cuba bersembunyi manakala yang lain pula tidak mengendahkan kehadiran polis yang melakukan serbuan, termasuk enggan membuka pintu.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain