suria

Cuti Bersalin 90 Hari Mantap Hubungan Ibu, Anak: Rosnah

KUALA LUMPUR: Pihak swasta perlu memberi cuti bersalin selama 90 hari kepada pekerja wanita supaya hubungan antara ibu dan anak dapat dimantap dan memperkasakan insitusi kekeluargan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata bayi yang baru lahir memerlukan tumpuan yang khusus daripada ibu.

Majikan perlu memberatkan soal kebajikan setiap pekerja mereka daripada hanya memikirkan keuntungan, kata Rosnah yang juga Ketua Pergerakan Puteri Umno kepada pemberita selepas merasmikan program "Tautan Kasih Bersama Mereka Yang Memerlukan" dan "Back To School" di sini, Sabtu.

Beliau yang menyokong usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membentangkan kertas Kabinet mengenai cadangan cuti bersalin selama 90 hari mengikut pilihan pekerja sektor swasta Januari depan, berkata: "Pihak swasta tidak harus memandang ringan isu kebajikan pekerja jika di bandingkan dengan kesungguhan dan komitmen pekerja wanita mereka."

Pada majlis anjuran Pergerakan Puteri Umno Wilayah Persekutuan itu lebih 150 kanak-kanak daripada keluarga miskin, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima sumbangan barangan persekolahan termasuk beg dan pakaian seragam sekolah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain