suria

Pemimpin Umno Disaran Sampai Wang Ihsan Hingga Ke Rumah

BACHOK: Semua pemimpin UMNO Bahagian di Kelantan disaran mendekati rakyat dengan menyampaikan sendiri bantuan wang ihsan kepada penduduk yang layak dari rumah ke rumah, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Katanya tindakan turun padang oleh pemimpin bahagian adalah lebih berkesan daripada menyampaikan bantuan itu secara berkelompok sebagaimana yang dilakukan sebelum ini.

"Di samping menyampaikan wang itu, mereka juga dapat merasai sendiri bagaimana pahit maung penduduk kampung terutama pada musim tengkujuh ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis khatam rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat di sini, Sabtu.

Seramai 135 murid sekolah rendah di kawasan DUN berkenaan menyertai majlis itu yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Bachok (PPD).

Awang Adek, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, berkata selain itu mereka juga berpeluang menjelaskan isu-isu semasa seperti pengurangan subsidi bahan bakar dan gula kepada penduduk agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pakatan pembangkang.

Katanya akaun wang ihsan masih lagi berbaki lebih RM10 juta daripada RM25 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat dan jumlah baki itu akan dibelanjakan tahun depan dengan melaksanakan pelbagai program berfaedah untuk rakyat di negeri itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain