suria

Mayat Ketiga Kejadian Lemas Di Cendering Ditemui, Dua Masih Hilang

KUALA TERENGGANU: Mayat seorang lagi pemuda yang lemas ketika mandi di Pantai Pandak, Cendering Jumaat petang, ditemui sekitar 25 meter dari tempat kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Sabtu.

Mayat S.Reymond, 26, dijumpai terapung di kawasan itu oleh Unit Skuba pasukan Bomba dan Penyelamat, yang menyambung semula operasi mencari hari ini seawal pukul 7 pagi.

Reymond adalah adik-beradik kepada dua pemuda yang mati lemas dalam kejadian pada Jumaat, S.Kumutha, 28, serta Roshini, 16, dan operasi mencari dua lagi yang masih hilang, S.Moghan, 21 dan A.Vijay Kumar, 18, diteruskan.

Seorang lagi yang yang terlibat dalam kejadian semalam, G.Mathevii, 19, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, dan keadaannya kritikal.

Kejadian pada Jumaat itu berlaku pada kira-kira pukul 2 petang semasa enam bersaudara yang berasal dari Kampung Jawa, Klang, Selangor itu sedang berkelah di pantai berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Jamil ketika ditemui di tempat kejadian berkata tragedi itu bermula apabila salah seorang daripada mereka dihanyutkan ombak besar.

Beliau berkata keadaan ombak besar dan pasir jerlus di pantai itu adalah antara faktor kejadian berlaku, dan menurutnya pihak berkuasa tempatan juga ada letakkan tanda amaran melarang pengunjung mandi di pantai kerana kawasan itu berbahaya.

Katanya mayat Reymond dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat, dan operasi mencari oleh pasukan bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dengan bantuan penduduk tempatan di kawasan berkenaan, diteruskan.

Sementara itu bapa kepada tiga beradik yang lemas dalam kejadian itu, V.Shanmugan, 47, berkata beliau ada melarang anak-anaknya itu daripada turun ke laut semasa menerima panggilan telefon daripada mereka.

"Setengah jam kemudian saya terima panggilan telefon yang memberitahu ketiga-tiga mereka sudah hilang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain