suria

MASUM 2011 Sasar 25,000 Pengunjung

SHAH ALAM: Pameran Pelancongan Antarabangsa Selangor Ke-4 Bagi Destinasi Umrah dan Muslim (MASUM) 2011 dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung berbanding 23,000 pada tahun lalu dengan mengekalkan lokasi sama iaitu Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, Januari depan.

Berlangsung selama tiga hari mulai 14 hingga 16 Januari, pameran pelancongan antarabangsa anjuran Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Cawangan Negeri Selangor (MATTA) itu mendapat sokongan penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan SACC dalam penganjuran MASUM tahun ini.

Pengerusi MATTA Cawangan Selangor, Mohd Akhil Mohd yusof berkata, objektif penganjuran pameran pelancongan itu adalah sebagai membuka platform kepada pengusaha agensi pelancongan bumiputera berlesen yang mengendalikan pakej umrah dan muslim ke destinasi percutian seluruh dunia.

"MASUM 2011 yang juga satu-satunya promosi pelancongan seumpamanya di negara ini bukan sahaja sebagai pendedahan malah untuk membantu golongan ini memperhebatkan promosi dan jualan pakej pelancongan muslim.

"Gunakanlah peluang ini sepenuhnya untuk berbincang dan mendapatkan pakej bersesuaian mengikut musim dan kos para pengunjung sendiri daripada agensi yang sah dan berlesen," katanya pada sidang akhbar MASUM 2011 di Bangunan SUK Selangor di sini, Jumaat.

Hadir sama, Exco Pelancongan Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Sementara itu, para pengusaha agensi pelancongan berlesen yang berminat untuk menyertai MASUM 2011 boleh menghubungi Sekretariat MATTA Cawangan Selangor untuk keterangan lanjut dan permohonan penyertaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai MASUM 2011, layari laman web www.masum.com.my, hubungi Sekretariat MATTA Selangor di talian 03-55111370 atau emelkan permohonan anda kepada [email protected]

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain