suria

Korea Puji Program Rasionalisasi Subsidi Kerajaan

KEPALA BATAS: Program rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan turut mendapat pujian daripada Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak yang melawat Malaysia selama dua hari mulai Khamis lalu.

"Ia (rasionalisasi subsidi) bukan sesuatu perkara yang senang untuk dilaksanakan. Kerajaan harus memastikan negara kuat dan tindakan tersebut telah mendapat pujian daripada Presiden Korea Selatan dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

"Lee berpendapat bahawa apa yang kerajaan Malaysia buat adalah satu perkara yang bijak. Kita tahu menjaga subsidi, pada masa yang sama kita juga menjaga kedudukan kewangan, tidak boros serta berbelanja dengan berhemat," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau menyampaikan hadiah wang tunai kepada pelajar di dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor yang memperoleh keputusan cemerlang pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2010.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan telah meneliti kepentingan rakyat dan membuat kajian rapi untuk jangka masa yang panjang sebelum bertindak untuk merasionalisasi subsidi.

Ia dilaksanakan bagi memastikan kedudukan kewangan negara dan kualiti kehidupan rakyat dapat diseimbangkan dan bukan untuk membebankan rakyat seperti apa yang didakwa oleh pihak pembangkang.

Langkah merasionalisasi subsidi kali kedua dilaksanakan awal bulan ini yang melibatkan pengurangan subsidi ke atas petrol RON95, diesel, LPG dan gula.

Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata Presiden Korea Selatan itu sedar tentang kekuatan negara Malaysia tetapi pihak pembangkang tidak.

"Orang luar lebih sedar tentang kekuatan kita berbanding pembangkang, biasalah mereka ini sudah kehabisan modal," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain