suria

Kerajaan Sedia Timbang Bekalkan Gambar Kesalahan Had Laju Menerusi Saman Ekor

BERA: Kerajaan sedia menimbang membekalkan gambar kesalahan memandu melebihi had laju yang dirakam polis trafik kepada pemandu yang disaman melalui saman ekor.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya akan berbincang dengan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung perkara itu agar saman berkenaan dilihat lebih adil untuk semua pihak.

"Kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak tetapi kita seboleh-bolehnya akan cuba untuk berlaku adil kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran 1Platun, 1Kampung, 1Taman dan penubuhan Briged Orang Asli Rela Peringkat Kebangsaan di Pos Iskandar, Bera dekat sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga anggota Parlimen Bera.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan orang ramai terhadap saman ekor yang didakwa tidak telus dan mahu polis mengirimkan saman bersama gambar kenderaan yang dirakam menerusi saman ekor itu.

Mengenai program 1Paltun, 1Kampung, 1Taman, Hishammuddin berkata ia dilihat mampu membantu kerajaan mengurangkan jenayah dengan berkesan di kawasan-kawasan yang tidak dikategori sebagai 'kawasan panas'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain