suria

Kerajaan Belanja RM210 Juta Untuk Pembangunan Kemahiran Generasi Baru Felda

PUTRAJAYA: Kerajaan membelanjakan RM210 juta dari tahun 2005 sehingga kini bagi melaksanakan program latihan kemahiran generasi baru Felda, bertujuan memberi peluang kedua kepada kalangan tanpa kelayakan akademik yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata seramai 33,017 warga Felda mendapat manfaat daripada bantuan tersebut, termasuk 4,485 yang berjaya memperoleh sijil kemahiran vokasional, 199 pemegang diploma Universiti Lim Kok Wing/Kolej Nilai/Akademi Laut Malaysia (Alam) manakala dua lagi berjaya menjadi juruterbang.

"Kerajaan memberi komitmen agar program ini diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta setiap tahun. Jadi kita ingin menyeru agar anak-anak peneroka menggunakan program kemahiran ini dengan baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Belia Felda Malaysia sempena Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2010, di sini Sabtu.

Ahmad berkata inisiatif pemberian bantuan dalam bentuk geran itu bagi memastikan agar anak-anak peneroka dapat berdikari untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

"Jika dulu kita bagi ikan, maka ikan itu akan habis dimakan, tetapi kita ajar mengail ikan Insya-Allah mereka boleh makan ikan seumur hidup," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan meneroka bidang kemahiran lain yang berprofil tinggi untuk diceburi, seperti kursus membaiki kapal terbang atau kapal laut serta bidang minyak dan gas.

Sementara itu, Ahmad berkata masalah ketagihan dadah di kalangan anak peneroka Felda tidak sebegitu serius seperti yang diuar-uarkan.

Beliau berkata hanya 2,200 daripada keseluruhan 1.6 juta orang generasi baru Felda dikesan mempunyai masalah tersebut, menjadikan hanya 0.001 peratus yang bermasalah.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad mencadangkan tujuh formula dinamik bagi belia Felda mengharungi abad ke-21, iaitu berilmu dan berkemahiran, bertaqwa dan berintegriti, berdaya saing dan berprestasi tinggi, berkepimpinan dan bijaksana, berkomunikasi dan berinovasi, beriadah untuk sihat dan ceria serta terlibat dalam perniagaan dan mempunyai rangkaian.

"Kita nak semua generasi baru Felda terlibat dalam bidang perniagaan kerana hanya dengan berniaga kita boleh menguasai ekonomi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain