suria

Sekretariat Hal Ehwal Bandar Bukan Untuk Ahli Umno Sahaja

KUALA KRAI: Pemuda Umno melalui Sekretariat Hal Ehwal Bandar (Sheb) mempelawa semua rakyat memanfaatkan sepenuhnya kewujudannya dalam membela nasib penduduk bandar tanpa mengira ideologi politik.

Pengerusi Sheb Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata sehingga hari ini peranan sekretariat itu masih terhad kepada beberapa golongan sahaja kerana masyarakat beranggapan Sheb ditubuhkan khas untuk membantu pengundi Umno semata-mata.

"Sejak dua tahun penubuhan Sheb, nasib ramai penduduk di seluruh negara dapat dibela, bagaimanapun jika dilihat dari sudut latar belakang, kebanyakan mereka adalah pengundi Umno.

"Justeru Sheb mahu mengubah persepsi masyarakat bahawa Sheb bukan sekadar untuk orang Umno tetapi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik selaras dengan konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita pada Program Khatan Perdana anjuran Sheb di Sekolah Kebangsaan Kuala Krai di sini Jumaat.

Beliau berkata Sheb sentiasa berusaha memperluaskan peranannya bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara menyeluruh dan berterusan kepada seluruh rakyat di negara ini.

"Bermula tahun hadapan pihak kita akan melaksanakan pendekatan secara lebih agresif melalui kempen dan sebagainya bagi menarik lebih ramai masyarakat bandar tampil menyuarakan permasalahan mereka dan menolak perbezaan fahaman politik masing-masing demi mendapatkan pembelaan sewajarnya," katanya.

Mengenai majlis khatan perdana itu Tengku Azman berkata ianya merupakan program khas secara percuma anjuran Sheb sempena musim cuti sekolah.

Beliau berkata kehadiran Sheb ke kawasan pedalaman Kelantan itu bagi menunaikan janji Sheb untuk membantu golongan miskin di Kuala Krai ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai sebelum ini.

Katanya sebanyak 14 buah lokasi di seluruh negara terutama di bandar akan dilawati bagi melaksanakan program secara percuma itu.

Sehingga kini tujuh lokasi telah dikunjungi dengan seramai 1,278 orang kanak-kanak telah selamat dikhatankan manakala pada program hari ini pula, seramai 138 kanak-kanak di daerah Kuala Krai telah selamat dikhatankan.

"Sasaran kita ialah seramai 3,000 kanak-kanak dari 14 lokasi itu akan dikhatankan," kata Tengku Azman.

Sheb merupakan sebuah biro Pemuda Umno yang ditubuhkan pada tahun 2009 bagi mengenal pasti dan membantu menyelesaikan permasalahan yang berlaku dan dihadapi oleh penduduk di bandar.

Berkonsepkan 'Membela dan Membawa Suara Masyarakat Bandar', Sheb sehingga kini telah membantu hampir 10,000 penduduk di seluruh negara yang menghadapi pelbagai masalah terutama membabitkan kebajikan, kemasyarakatan dan pendidikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain