suria

Pandikar Amin "Tunjuk Taring', Anggota Dewan Rakyat Terima Padah

KUALA LUMPUR: Selepas persidangan Dewan Rakyat kecoh hampir sepanjang hari kelmarin, Khamis, Yang Dipertuanya Tan Sri Pandikar Amin Mulia 'tunjuk taring' bagi memastikan anggota Parlimen mematuhi peraturan mesyuarat.

Pandikar yang lazimnya tenang dan rasional ketika mengendalikan mesyuarat, pada Khamis kelihatan 'hilang sabar' dan akibatnya dua anggota Parlimen DAP iaitu Jeff Ooi Chuan Aun dan Fong Po Kuan digantung daripada menyertai mesyuarat sehingga pukul 2.30 petang.

Bagaimanapun, 'mangsa' pertama Pandikar ialah Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang ditegur kerana cuba mengatasi kuasa speaker apabila menyatakan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) terkeluar topik ketika mengemukakan soalan tambahan.

"Kalaupun dia terkeluar (topik), saya yang menentukan sama ada saya panggil lagi atau tidak. Jangan ahli-ahli Yang Berhormat biasa buat begitu," kata Pandikar kepada Mojigoh.

Tegurannya tidak terhenti setakat itu apabila beliau turut 'memulangkan paku buah keras' kepada anggota Parlimen kerana gemar menggunakan peraturan mesyuarat ketika berhujah, namun mereka sendiri tidak mematuhi peraturan tersebut.

"...hampir semua ahli-ahli Yang Berhormat langgar peraturan mesyuarat termasuk membuat kenyataan di luar dewan, menghina majlis, selepas itu mengatakan yang bukan-bukan seolah-olah orang yang bercakap itu malaikat. Tidak ada kesilapan langsung.

"Jangan buat ukuran kepada sesiapa dengan ukuran sendiri. Siapa kita yang buat ukuran terhadap orang lain? Ingat ini," katanya.

Bermula soalan pertama sehingga berakhirnya sesi jawab lisan pada pukul 11.30 pagi, boleh dikatakan kesemua anggota Parlimen dan juga wakil kerajaan yang mengemuka dan menjawab soalan menerima 'bisa' Pandikar.

Semalam, beliau menjadi sasaran wakil pembangkang kerana menolak usul mereka untuk menangguhkan persidangan bagi membincangkan hukuman ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan Ketua Pembangkang itu mengenai kaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Yahudi.

Rentetan itu, tercetus 'perang mulut' yang mengakibatkan beberapa anggota Parlimen termasuk wakil pembangkang diminta meninggalkan dewan dan hanya dibenarkan menyertai persidangan sesi petang.

Bagaimanapun, persidangan sebelah petang semalam juga kecoh ketika perbahasan usul memotong gaji Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Turut menjadi 'mangsa' Pandikar hari ini ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K Devamany yang diminta meninggalkan hujah politik di luar dewan.

"Tinggalkan hujah perkataan yang ada kaitan politik. Khususkan kepada tanggungjawab Menteri. Itulah yang menimbulkan kekecohan setiap hari. Berpolitiklah di luar dewan, sehabis-habis pun siapa yang tegur? Jawab khusus kepada tanggungjawab kementerian," tegas Pandikar.

Sebelum itu Salleh Kalbi (BN-Silam) dalam soalan tambahannya bertanya kepada Devamany mengenai kesan tindakan pembangkang yang sering memutar-belitkan fakta tentang negara ke atas komitmen kerajaan dalam menarik pelabur asing.

Tahap kesabaran Pandikar mencapai kemuncaknya apabila Jeff Ooi (DAP-Jelutong) dan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mempertikaikan keputusannya mengakibatkan kedua-dua wakil pembangkang itu digantung daripada menyertai persidangan sehingga pukul 2.30 petang.

Apabila Anwar meminta penjelasan berhubung tindakan beliau itu, jawab Pandikar:

"Sebelum saya masuk (Dewan), semua peraturan yang perlu saya tahu saya baca termasuk rujukan luar negara. Tetapi daripada awal pegang jawatan ini, saya cuba dengan sedaya upaya tonjolkan kesabaran dan keadilan kepada semua. Saya memperingati kepada semua malahan saya yang terheret sama kepada cara dan budaya Parlimen yang konon hendak ditinggikan imej ini.

"Bila langgar peraturan pun kadang-kadang saya biarkan. Sebabnya kenapa Jelutong saya berhentikan ialah kerana beliau tahu soalannya terperinci dan Menteri kata akan jawab nanti. Tetapi apabila dikaitkan dengan nama seorang mantan Menteri Persekutuan yang sedang dalam perbicaraan, itu sudah subjudice.

"Adakah semua ahli-ahli Yang Berhormat tidak faham lagi ini? Kalau mahu kita bermesyuarat dan Parlimen dinaikkan imej, ayuh sama-sama kita buat. Jangan bila nanti saya bertindak tegas saya dituduh macam-macam, saya emosi. Siapa yang emosi?

"Setiap kali Batu Gajah berdiri dia emosi. Setiap kali Bukit Gelugor (DAP-Karpal Singh) bercakap, menghina. Pernah saya menghina kepada ahli-ahli Yang Berhormat? Pernah saya menegur kalau tidak ada saya nampak keterlaluan?" kata Pandikar lagi.

Situasi akhirnya reda apabila Datuk Enchin Majimbun (Bebas-Sepanggar) mengemukakan soalan tambahan yang ringkas dan padat mengenai cara pembayaran konsesi penyelenggaraan jalan serta dijawab dengan baik oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng dan mendapat pujian Pandikar.

"Cantik soalan Sepanggar...jawapan Menteri pun elok," kata Pandikar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain