POKOK SENA: Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) akan mencari satu alternatif bagi membolehkan generasi kedua Felcra memiliki rumah, kata pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.Beliau berkata, keperluan terhadap rumah oleh generasi kedua amat tinggi, justeru Felcra sedang berusaha seperti melakukan perbincangan dengan beberapa bank tempatan bagi membolehkan anak-anak peserta Felcra membuat pinjaman dan sekaligus dapat memperoleh rumah yang disediakan oleh Felcra. "Sebelum ini generasi kedua gagal mendapatkan rumah di penempatan Felcra kerana mereka bukannya ahli Felcra, hanya anak kepada ahli Felcra."Ini membuatkan mereka tidak layak kerana mereka tidak ada sumber pendapatan tetap bagi membolehkan mereka membayar kembali harga rumah yang dipohon kepada Felcra," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Penyusunan Semula Kampung di Bukit Tampoi Fasa II dekat sini, Jumaat.Tajuddin berkata, bahawa sebelum ini generasi pertama yang merupakan ahli Felcra layak memohon dan memiliki rumah di penempatan Felcra kerana mereka boleh membayar semula rumah yang mereka pohon melalui potongan dividen yang dibuat oleh Felcra. "Pihak Felcra akan melaksanakan penempatan Felcra kepada generasi kedua kerana permintaan yang tinggi ekoran kejayaan penempatan yang pertama di Felcra Seberang Perak di Perak yang menempatkan 1,500 unit rumah pelbagai kategori," katanya.Tajuddin berkata, program penyusunan semula kampung Bukit Tampoi fasa I dan II dibuat bagi memastikan pembangunan prasarana sosial diperkasakan di kawasan perumahan Felcra di seluruh negara bagi mewujudkan sebuah penempatan yang maju dan moden.Antara prasarana yang terdapat di penempatan Felcra adalah masjid, bangunan perniagaan, dewan, balai polis dan lot perumahan.Pada majlis itu Tajuddin menyerahkan cek bernilai RM61,000 kepada peserta-peserta Felcra yang terlibat dalam kejadian banjir November lalu dan buku untuk perpustakaan Islam Masjid Bukit Tampoi. - BERNAMA