suria

Wanita Zambia Ditahan Cuba Seludup Syabu

GEORGE TOWN: Seorang wanita rakyat Zambia, dipercayai agen sindiket dadah antarabangsa, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini semalam.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Matrang Suhaili berkata, pihaknya turut merampas dua kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM500,000 yang dibawa wanita terbabit.

Dadah itu dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini untuk diedar di sekitar Pulau Pinang, katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata, ketika ditahan dalam operasi mengejut yang dilakukan pada pukul 7.30 petang di lapangan terbang itu, wanita berusia dalam lingukungan 30-an itu membawa tiga buah bagasi.

Hasil pemeriksaan mendapati satu daripada bagasi tersebut mempunyai dua ruang tersembunyi.

"Kami menemui dua bungkusan plastik mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu atau lebih dikenali sebagai 'ice' dalam ruang tersembunyi itu," katanya.

Beliau menambah, siasatan awal mendapati wanita yang bekerja sebagai pendandan rambut di negara asalnya itu menaiki pesawat dari Johannesburg Selasa lepas dan tiba di Hong Kong pada hari yang sama sebelum menaiki pesawat ke Malaysia.

Matrang menjelaskan, wanita itu kini direman selama 10 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Artikel Lain